ALOR SETAR: Polis berjaya menahan suspek utama kejadian bunuh seorang eksekutif bank di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara di sini, semalam.
Lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai merupakan anak sulung si mati diberkas dalam sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan pada pukul 8.34 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki itu ditahan kurang 24 jam selepas tragedi ketika suspek dalam perjalanan menuju ke Selangor.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh wanita berusia 52 tahun yang ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman di bahagian perut, payudara dan pergelangan tangan, selain lebam dan luka pada anggota badan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, mangsa, Zahrullail Basir, 52, ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman serta kesan luka dan lebam dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi di rumahnya.
Syed Basri berkata, suspek memiliki satu rekod berkaitan jenayah, namun ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya negatif.
Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.– UTUSAN










