Kekuatan angkatan pertahanan terletak pada integriti - Agong

Kekuatan angkatan pertahanan terletak pada integriti – Agong

SULTAN Ibrahim berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, di Istana Negara, semalam. – FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu bahawa budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa perlu menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Baginda bertitah, kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.

“Integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas pen­ting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.

“Budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” titah baginda menerusi hantaran di Facebook semalam.

Terdahulu, baginda ber-kenan menerima mengadap Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara.

“Kepemimpinan tertinggi ATM diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa,” titah baginda.

Pada pertemuan berkenaan, baginda turut menyatakan keyakinan bahawa PAT yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Sebelum ini, bekas PAT, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Malek Razak, yang sebelum ini Panglima Medan Barat Tentera Darat, dilantik sebagai PAT ke-24 berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Beliau berkelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan daripada King’s College London dan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN