JOHOR BAHRU: Sistem perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) distruktur semula dengan penekanan terhadap penambahbaikan proses sebut harga bagi meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti tender melibatkan semua aset pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu antara yang dipersetujui Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pertahanan berhubung pelepasan dana, susulan pembekuan perolehan ATM.
Beliau berkata, antara penambahbaikan utama adalah keanggotaan silang dalam jawatankuasa sebut harga membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat bagi memastikan proses itu lebih telus dan seimbang.
“Jika sebut harga perolehan itu dibuat TLDM, mesti ada ahli perkhidmatan lain seperti TUDM atau Tentera Darat dalam jawatankuasa, begitu juga sebaliknya.
“Selain itu, kerajaan juga mahu perolehan melibatkan peralatan luar negara dilakukan secara tender terbuka antarabangsa. Jika dahulu tidak buat begitu, ejen akan masuk, jadi harganya akan naik, jadi lepas ini perlu dibuat secara langsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Anwar berkata, langkah itu bagi memastikan semua perolehan aset pertahanan negara dilaksana melalui proses telus, susulan dakwaan berhubung isu ketirisan membabitkan ATM baru-baru ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pembekuan perolehan ATM tidak menjejaskan sebarang operasi yang dijalankan oleh mana-mana cabang perkhidmatan.
“Ada sesetengah perkara kita rasakan tidak boleh berpanjangan (pembekuan) seperti makanan. Kerana apabila tentera beroperasi, mereka perlukan pembekalan makanan dan kenderaan melibatkan alat ganti dan lain-lain.
“Jadi dalam hal ini memang kita minta dikecualikan daripada pembekuan,” katanya. – UTUSAN










