PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia meneliti dan meminda undang-undang sedia ada bagi memberi hukuman lebih berat kepada pesalah kes curi kabel rel.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengakui wujud keperluan mendesak bagi tujuan itu bagi memastikan pesalah curi kabel menerima hukuman setimpal.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta semua operator perkhidmatan kereta api dan rel baru-baru ini.
“Kami bersetuju bahawa ada keperluan untuk teliti ke arah memindanya (akta) bagi mewujudkan satu kesan pencegahan kepada insiden ini.
“Kita mengambil juga model beberapa operator kereta api di negara maju seperti Jerman dan China. Di China hukuman curi kabel rel dikenakan hukuman bunuh kerana ia melibatkan kemalangan yang mungkin mengorbankan jiwa, tetapi kita tidak sampai ke tahap itu lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat kepada warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini, hari ini.
Katanya, beliau dimaklumkan, kes kecurian kabel banyak dilaporkan di tapak projek ECRL di Pahang biarpun pengoperasian perkhidmatan rel itu belum lagi beroperasi.
Saifuddin berkata, insiden kecurian kabel rel ini melibatkan dua komponen utama iaitu kabel kuasa dan kabel isyarat yang mana kabel isyarat mudah dijual kepada kilang besi buruk dan memberi pulangan segera yang tinggi.
“Selain itu, kami juga telah mengarahkan Bahagian Perlesenan KDN untuk menyemak senarai pemilik kilang pelupusan besi dan logam bagi mengenal pasti sebarang penglibatan dalam pembelian kabel curi. – UTUSAN










