Kategori barangan SARA Untuk Semua diperluas kepada makanan sejuk beku - PM

Kategori barangan SARA Untuk Semua diperluas kepada makanan sejuk beku – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan warga KPN ketika hadir Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua merangkumi makanan sejuk beku yang mula disalurkan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembabitan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan SARA juga ditingkatkan kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini.

“Bermula hari ini, 9 Februari 2026 hingga 31 Disember 2026, semua 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 melalui MyKad.

“Namun, ramai membangkitkan supaya diperluaskan kategori barangan jadi, sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.

Anwar berkata, peluasan SARA membabitkan semua lapisan rakyat walaupun nilai bantuan itu kecil secara individu, namun memberi kesan besar.

“Bayangkan 22 juta rakyat dapat, ini peringkat kedua SARA untuk semua. Jumlahnya kecil, tapi kita nak santuni semua.

“Kalau campur kesan perbelanjaan SARA dan STR (Sumbangan Tunai Rahmah), jumlahnya RM15 bilion. Itu bukan kecil,” katanya.

Namun beliau menegaskan, kerajaan kekal berdisiplin dari segi pengurusan fiskal dan tidak mahu berbelanja secara berlebihan sehingga menjejaskan kedudukan kewangan negara.

“Kita cuba sedaya upaya. Nak bayar banyak sekali gus, tak boleh. Kita tak mahu defisit, kita urus. STR pun. Semua kementerian tahu, kita cermat dalam belanja,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu turut mengambil kira keperluan rakyat menjelang musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dan Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN