Kastam gagalkan cubaan seludup arak bernilai RM1.873 juta

Kastam gagalkan cubaan seludup arak bernilai RM1.873 juta

ROHAIZAD Ali (tengah) bersama sebahagian daripada minuman keras yang dirampas ketika sidang akhbar di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup minuman keras susulan penahanan dua buah kontena dalam satu operasi di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, 7 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Rohaizad Ali berkata, kontena-kontena itu ditahan selepas didapati tidak membuat pengikraran pada borang manifes bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak Kastam negeri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap kontena-kontena itu kemudian menemukan kira-kira 96,000 tin minuman keras jenis bir disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM1.873 juta.

“Siasatan lanjut mendapati, minuman keras yang disita ini berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara dan diimport oleh sebuah syarikat tempatan tanpa membuat pengikraran manifes kepada pihak kastam.

“Hasil siasatan juga menunjukkan bahawa semua barangan tersebut dibawa masuk ke dalam negara bagi tujuan jualan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an yang bekerja sebagai ejen perkapalan turut ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN