SEPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan di Cyberjaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.31 petang semalam daripada seorang wanita tempatan.
Beliau berkata, mangsa sebelum itu telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan rawatan sejurus kejadian.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, bedah siasat telah dijalankan di hospital sama pada pukul 12 tengah hari yang sama bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Norhizam berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar berhubung insiden ini,” ujarnya.
“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Farizi Ramlee di talian 014-3145347 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










