IPOH: Kadar zakat fitrah di Perak bagi tahun 2026 ditetapkan melalui tiga pilihan bayaran iaitu RM10, RM16 dan RM25.
Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, bayaran pilihan RM10 bagi individu yang menggunakan beras putih import dan beras super spesial tempatan manakala bayaran pilihan RM16 pula bagi pengguna beras perang, beras rebus dan beras wangi.
Katanya, bagi pengguna beras basmathi, beras jepun, beras pulut dan beras merah, mereka digalakkan membayar RM25.
“Kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu, selaras dengan ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang telah diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
“Penetapan kadar bayaran zakat fitrah ini dibuat berdasarkan harga dan jenis beras di pasaran yang dimakan kebanyakan orang Islam di Perak iaitu pada kadar timbangan satu gantang baghdad bersamaan 2.6 kilogram (kg),” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Perak 1147H/2026M di Ibu Pejabat Zakat Perak Al-Ridzuan (Zapar), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar Zapar, Ahmad Nazim Md Tajuri.
Sementara itu, mengulas berhubung penurunan kadar zakat fitrah bagi pilihan ketiga iaitu RM25 berbanding tahun lalu sebanyak RM27, beliau berkata, penetapan itu dibuat berdasarkan realiti harga beras yang digunakan oleh orang Islam di Perak.
Katanya, perbandingan harga juga dibuat berdasarkan data oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Unit Kawal Selia Beras serta kajian lapangan di pusat-pusat perniagaan yang menjual beras.
“Kadar pertama RM10 adalah kadar minimum dan sesiapa sahaja yang membayar RM10 telah menunaikan kewajipan zakat fitrah mereka tanpa mengira jenis beras yang dimakan.
“Kadar seterusnya adalah kadar pilihan dan kebanyakan umat Islam di Perak cenderung membayar berdasarkan jenis beras yang mereka makan.
“Bayaran itu lebih afdal, namun bayaran RM10 tetap sah. Sekiranya seseorang ingin membayar lebih, ia adalah lebih baik kerana manfaatnya akan kembali kepada golongan fakir dan miskin,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nazim berkata, MAIPk melalui Zapar telah melantik seramai 1,735 penolong amil fitrah bagi melancarkan kutipan zakat fitrah tahun ini.
Katanya, bilangan penolong amil fitrah yang dilantik itu berkurangan berbanding 1,900 orang tahun lalu susulan pelaksanaan proses pendigitalan yang dilaksanakan MAIPk.
“Data tahun lepas menunjukkan bahawa sebanyak RM15.2 juta zakat fitrah yang dikutip dan separuh daripada jumlah bayaran diterima adalah melalui kaedah dalam talian.
“Dengan penambahbaikan yang dibuat, kita yakin kaedah pembayaran secara dalam talian ini akan menjadi pilihan utama masyarakat Islam di negeri Perak,” katanya. – UTUSAN










