BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup rokok serta minuman keras yang dianggarkan bernilai RM10.7 juta termasuk cukai dalam dua pemeriksaan berasingan, baru-baru ini.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, dalam pemeriksaan pertama yang dijalankan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 24 Disember lalu, sebanyak 908 kotak mengandungi rokok putih bernilai RM9.9 juta berjaya dirampas.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh sindiket tersebut ialah dengan menyembunyikan rokok yang diseludup di dalam kotak yang bertulis ‘FURNITURE’ serta membuat pengikraran yang tidak betul.
“Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang di Perai di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Rohaizad berkata, JKDM Pulau Pinang berjaya menyerbu sebuah stor kecil yang beroperasi sebagai ‘kilang mini’ untuk memproses dan mengilang minuman keras tanpa lesen di Sungai Dua di sini pada 6 Januari lalu.
Katanya, dalam pemeriksaan itu, sebanyak 10,391 botol yang mengandungi 4,208.7 liter minuman keras jenis wiski disyaki tidak berkastam bernilai RM717,963.53 termasuk cukai berjaya dirampas.
“Turut disita ialah pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk memproses minuman keras seperti tong berisi etanol, gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan minuman keras, mesin pemasang penutup dan pelekat label.
“Ada juga sebahagian daripada minuman keras yang dirampas itu didapati telah siap dan ditampal dengan setem cukai kastam yang disyaki palsu,” ujar beliau.
Tambah Rohaizad, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 74(1) (f) Akta Eksais 1976 serta boleh dihukum bawah Seksyen 74(1)(iii) Akta Eksesais 1976.










