JKDM gagalkan seludup dadah ke Eropah bernilai RM1.4 juta.

JKDM gagalkan seludup dadah ke Eropah bernilai RM1.4 juta.

Zulkifli (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di Pusat Mel dan Kurier KLIA, bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja dan kokain ke luar negara bernilai lebih RM1.419 juta di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, siasatan mendapati, dadah berkenaan dipercayai untuk dieksport ke dua negara Eropah.

Beliau berkata, kes pertama direkodkan pada 5 Januari lalu membabitkan rampasan dua bungkusan mengandungi bunga ganja seberat 16.057 kilogram dengan anggaran nilai RM1.408 juta dirampas.

“Bagi kes kedua pula, satu bungkusan dadah jenis kokain seberat kira-kira 57 gram bernilai RM11,400 disita berjaya dirampas di lokasi sama pada 28 Januari lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati, sindiket menggunakan khidmat mel dan kurier untuk mengeksport dadah berbahaya ke luar negara dengan mengikrar bungkusan sebagai hadiah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Zulkifli berkata, kedua-dua kes masih dalam siasatan dan pihaknya mendapati alamat yang tertera pada bungkusan dadah itu tidak lengkap sekali gus sukar mengenalpasti identiti penghantar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Katanya, ganja adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian I dan II, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kokain ialah dadah berbahaya yang disenaraikan di Bahagian III, Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN