TAIPING: Sebanyak 4,259 kes kebakaran serta operasi penyelamatan direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sepanjang tahun 2025, mencerminkan tahap kesiapsiagaan berterusan pasukan itu dalam menangani pelbagai insiden kecemasan di seluruh negeri.
Timbalan Pengarah JBPM Perak, Yusri Mohd Yusoff, berkata berdasarkan statistik rasmi bagi tempoh Januari 2025 hingga Februari 2026, sebanyak 886 kes lagi direkodkan setakat Februari tahun ini membabitkan pelbagai kategori termasuk kebakaran terbuka, kebakaran struktur dan operasi penyelamatan.
“Sebanyak 728 kes kebakaran terbuka direkodkan sehingga Februari tahun ini dengan keluasan kawasan terjejas mencecah 40.74 hektar. Daripada jumlah itu, kebakaran belukar dan lalang dikenal pasti sebagai penyumbang utama iaitu sebanyak 419 kes, diikuti kebakaran sampah serta hutan.
“Secara keseluruhan, keluasan kawasan terbakar dianggarkan kira-kira 1,647,364 meter persegi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan kepada alam sekitar dan keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran Kebakaran dan Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena Musim Perayaan (Ops Siaga Raya) peringkat JBPM Perak di Taiping Mall, di sini, hari ini.
Menurut Yusri, sepanjang 2025, JBPM Perak berjaya menyelamatkan harta bernilai RM352.001 juta, manakala kerugian akibat kebakaran direkodkan sebanyak RM109.995 juta.
“Bagi tempoh 2026 sehingga 10 Februari, nilai harta yang berjaya diselamatkan berjumlah RM11.523 juta dengan anggaran kerugian sebanyak RM4.717 juta.
“Selain itu, seramai 7,841 nyawa berjaya diselamatkan sepanjang 2025, yang mana majoritinya hasil tindak balas pantas anggota bomba di lokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN










