LEKAS aktifkan Smart Lane, kurangkan kesesakan waktu puncak

LEKAS aktifkan Smart Lane, kurangkan kesesakan waktu puncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Lebuhraya Kajang–Seremban Sdn. Bhd. (LEKAS) akan mengaktifkan sistem Smart Lane di beberapa seksyen terpilih Lebuhraya LEKAS sebagai langkah mitigasi proaktif bagi mengurangkan kesesakan trafik, khususnya pada waktu puncak pagi dan petang bermula esok.

Pelaksanaan sistem itu melibatkan laluan antara Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) dan Persimpangan Kajang Perdana (SILK) yang dikenal pasti sering mengalami kesesakan.

Bagi arah utara, Smart Lane akan diaktifkan dari KM 1.0 hingga KM 0.1, iaitu dari Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) ke Persimpangan Kajang Perdana (SILK) menuju Putrajaya. Laluan ini akan beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 9 malam bagi melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak pagi dan petang.

Manakala bagi arah selatan, Smart Lane melibatkan laluan dari KM 0.0 hingga KM 0.4, iaitu dari Persimpangan Kajang Perdana (SILK) ke Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS), khususnya bagi mengurangkan kesesakan trafik waktu puncak petang dari arah Sungai Long, Lebuhraya SILK serta Kajang Perdana.

Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya LEKAS, Ms Chua Lay Hoon berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan LEKAS terhadap pengurusan trafik secara proaktif.

“Pelaksanaan pengaktifan Smart Lane menunjukkan pendekatan proaktif LEKAS dalam mengurus kesesakan pada waktu puncak pagi dan petang. Dengan penggunaan sementara lorong kecemasan serta panduan lorong yang lebih awal melalui penambahbaikan papan tanda destinasi, kami menyasar untuk meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan pergerakan silang (weaving), dan memperbaiki aliran trafik di kawasan persimpangan kritikal.

“Keselamatan pengguna lebuh raya adalah keutamaan kami. Inisiatif pengurusan trafik ini telah dirancang dengan teliti dan diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan, disokong oleh langkah dan pelan pengurusan trafik yang komprehensif serta pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan yang selamat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa terpelihara, beberapa langkah kawalan akan dilaksanakan termasuk pemasangan kon trafik di lokasi terpilih, lampu amaran, serta papan tanda arah dan amaran awal bagi memberi panduan jelas kepada pengguna lebuh raya.

“Setiap laluan Smart Lane turut dilengkapi papan tanda “Smart Lane Mula” dan “Smart Lane Tamat”, selain lampu LED hijau yang menandakan lorong dibuka. Lampu yang tidak menyala pula menunjukkan lorong berkenaan ditutup kepada trafik.

“Smart Lane akan dinyahaktifkan di luar waktu operasi, dan lorong kecemasan akan dikembalikan sepenuhnya kepada fungsi asal bagi kegunaan kecemasan.

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda, had laju serta arahan keselamatan yang disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan Smart Lane bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN