Jangan bina ternakan babi di kawasan cetus kegelisahan penduduk - PM

Jangan bina ternakan babi di kawasan cetus kegelisahan penduduk – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menentang aktiviti penternakan babi, namun menegaskan ia tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan dan bantahan penduduk setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ternakan babi tidak harus dilihat dari sudut perkauman atau agama, sebaliknya perlu ditangani secara rasional dengan mengambil kira aspek kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, aktiviti ternakan babi tidak digalakkan sekiranya dijalankan di kawasan kediaman yang didiami majoriti penduduk yang tidak memakan babi, termasuk masyarakat Islam.

“Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi dan tidak melarang orang bukan Islam makan babi. Tetapi kita juga tidak boleh memaksa masyarakat yang tidak menghendakinya untuk menerima ternakan itu di persekitaran tempat tinggal mereka.

“Saya sendiri tidak bersetuju jika ada ternakan babi di sekitar rumah saya di Sungai Long. Bukan kerana saya anti orang Cina makan babi, tetapi kerana masalah bau dan pengurusan najis yang menimbulkan ketidakselesaan,” katanya katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.

.Menurut beliau, isu bau, kesihatan dan pengurusan sisa ternakan merupakan masalah sebenar yang perlu ditangani, bukannya isu yang direka atau dipolitikkan.

“Kalau ada teknologi baharu seperti di Eropah yang menjamin kebersihan, itu boleh dipertimbangkan, tetapi jangan dibawa ke kawasan kampung atau perumahan penduduk. Hal-hal seperti ini perlu dibincangkan secara baik,” katanya.

Anwar berkata, ternakan babi tidak seharusnya diteruskan di kawasan yang berpotensi mencetuskan kontroversi dan pertikaian awam, sebaliknya perlu mencari lokasi yang tidak menimbulkan masalah kepada komuniti setempat.

“Kalau di Kuala Lumpur tidak sesuai, maka tidak perlu. Kalau di Selangor sukar, maka sukarlah. Jangan cari masalah kerana isu bau, kesihatan dan najis itu masalah yang nyata,” katanya.

Beliau berkata, pandangan tersebut turut mendapat perkenan dan persetujuan Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor, dengan menegaskan setiap cadangan perlu dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesesuaian kawasan. Jangan terus bantah sebelum dengar, nanti dikatakan tidak sabar atau dilabel anti-Cina dan anti-babi,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu ternakan babi sama seperti isu rumah ibadat haram yang perlu diselesaikan melalui ketetapan, peraturan dan undang-undang, bukannya tindakan melulu atau bersifat emosi.

“Kalau betul melanggar peraturan, jangan ambil kapak dan terus roboh. Perlu beri masa dan tempoh yang munasabah, tetapi tidak juga dibiarkan terlalu lama tanpa penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan rundingan secara berhemah dan saling menghormati adalah kunci dalam menangani isu sensitif melibatkan kepentingan pelbagai pihak.

“Jawapannya bukan dengan bengis, bukan mencerca dan bukan menghina. Kita hormati hak orang yang makan babi, dan mereka juga perlu hormati hak kita untuk menjaga kawasan yang sesuai. Dengan cara itu, negara akan kekal aman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN