IPOH: Umat Islam diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh 1 Syawal dan menunggu pengumuman rasmi, susulan tular khabar bahawa Aidilfitri tahun ini mungkin disambut secara mengejut pada 20 Mac (Jumaat), berbanding jangkaan awal pada 21 Mac (Sabtu).
Jabatan Mufti Perak menegaskan orang ramai perlu bertenang dan memahami bahawa perbezaan daripada jangkaan adalah perkara biasa dalam disiplin falak.
Takwim Hijrah yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan, namun penetapan rasmi 1 Syawal tetap tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan pihak berautoriti.
“Sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam,” kata jabatan itu dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi.
Katanya umat Islam tidak perlu terpengaruh dengan sebarang khabar angin atau maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial.
Tindakan berspekulasi boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat Muslim, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
“Orang ramai digesa merujuk hanya kepada sumber rasmi bagi memastikan segala ibadah dan perancangan berkaitan Hari Raya dijalankan mengikut garis panduan yang sah.
“Nasihat ini seiring dengan usaha kerajaan dan jabatan berkenaan memastikan umat Islam meraikan Aidilfitri secara tertib dan selaras dengan ketetapan syarak.
Katanya Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu, secara prinsip falak apabila hilal atau anak bulan berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, ia mempunyai potensi untuk dilihat.
Bagaimanapun, dalam konteks di Malaysia tahap kebolehlihatan hilal bergantung kepada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) dan jarak antara bulan dan matahari (elongasi).
“Hilal yang terlalu rendah atau hampir dengan ufuk mempunyai potensi kenampakan yang sangat lemah walaupun secara teorinya ia telah wujud. Oleh itu, kewujudan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin kenampakan secara fizikal,” katanya.
Walaupun secara hisab hilal dijangka mempunyai potensi untuk dilihat walaupun tidak memenuhi kriteria, faktor cuaca boleh menghalang penampakan sebenar.
“Sebaliknya, dalam keadaan atmosfera yang sangat baik dan ia adalah satu perkara yang jarang berlaku di Malaysia, hilal kadangkala berjaya dicerap.
“Ini menunjukkan keputusan penetapan tidak hanya bergantung kepada data kiraan tetapi juga realiti cerapan di lapangan,” katanya.
Katanya parameter hilal setiap tahun berbeza dan pada tahun ini kedudukan hilal Syawal didapati lebih rendah dan lebih sukar untuk dicerap berbanding 2022, maka secara teknikal tahap kebolehlihatannya juga adalah lebih sukar.
“Namun, keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan yang ditetapkan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” katanya.
Jabatan Mufti Negeri Perak juga menggalakkan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal, demi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir. – UTUSAN











