Isu pemilikan tanah tokong dibawa ke mesyuarat exco - Utusan Malaysia

Isu pemilikan tanah tokong dibawa ke mesyuarat exco

SANDREA Ng Shy Ching menerima serahan memorandum daripada Jawatankuasa Persatuan Penganut Dewa Datuk Kong di Tanjung Piandang Parit Buntar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Isu pemilikan empat lot tanah seluas kira-kira 1.5 ekar yang melibatkan tapak Tokong Dewa Datuk Kong serta 29 unit rumah kedai di Tanjung Piandang di sini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Perak dalam masa terdekat bagi pertimbangan dan keputusan muktamad.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, isu berkenaan akan dibentangkan bersama laporan penuh jabatan teknikal merangkumi latar belakang, kronologi serta hasil perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

Menurut beliau, isu pemilikan tanah tokong berpunca daripada kebenaran yang pernah diberikan oleh pemilik asal tanah untuk digunakan sebagai tapak tokong, selain membenarkan kutipan sewaan berbentuk derma daripada rumah kedai berhampiran bagi tujuan pengurusan rumah ibadat.

“Namun kebenaran itu tidak pernah didaftarkan secara rasmi kerana tiada urusan pertukaran hak milik dilakukan.

“Justeru, rekod Pejabat Tanah masih mencatatkan nama pemilik asal yang telah meninggal dunia walaupun tapak itu diuruskan oleh pihak tokong sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan antara kerajaan negeri, wakil masyarakat setempat dan jawatankuasa Persatuan Penganut Dewa Datuk Kong di Tanjung Piandang, di sini, hari ini.

Sandrea berkata, keadaan itu membawa kepada tindakan pelucutan hak pada tahun 2012, sekali gus menjadikan empat lot tanah berkenaan sebagai tanah kerajaan.

Sejak itu, beberapa permohonan telah dikemukakan oleh pihak tokong bagi mendapatkan semula hak milik tanah terbabit.

Mengulas hala tuju penyelesaian, beliau berkata kerajaan negeri akan berpandukan beberapa prinsip asas, termasuk kemungkinan mewartakan tapak tokong sebagai rizab rumah ibadat sekiranya memenuhi syarat, dengan pelantikan jawatankuasa sebagai penyelenggara.

“Memandangkan kawasan ini turut melibatkan 29 unit rumah kedai yang telah lama beroperasi, kerajaan negeri meminta semua pihak terlibat memberikan persetujuan bertulis sekiranya tanah itu diluluskan untuk diberi milik kepada pihak tokong bagi mengelakkan pertikaian pada masa hadapan,” katanya.

Beliau memberitahu sebahagian pemilik asal tidak meninggalkan waris, manakala waris yang masih wujud pula tidak membuat tuntutan kerana mengiktiraf tanah berkenaan telah lama digunakan sebagai tapak tokong.

Bangunan tokong sedia ada siap sepenuhnya sekitar 2013 hingga 2014 selepas beberapa fasa pembinaan semula, namun penggunaan tapak berkenaan telah bermula jauh lebih awal sejak kebenaran asal diberikan oleh pemilik tanah. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN