PETALING JAYA: Pelakon, Emma Maembong meluahkan rasa hairan apabila kehadirannya di sebuah kelab malam di Sarawak baru-baru ini diperbesarkan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Isu tersebut timbul susulan penularan sebuah video yang memaparkan seorang selebriti wanita berada di pusat hiburan, namun wajah individu berkenaan dikaburkan sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial.
Menjelaskan situasi sebenar, Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 32, menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyembunyikan identitinya ketika berada di tempat awam.
Malah, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu menyifatkan tindakan mengaburkan wajahnya sebagai sesuatu yang tidak perlu kerana kehadirannya di lokasi berkenaan adalah secara terbuka.
“Saya sendiri tidak faham mengapa perkara ini perlu diperbesarkan sampai wajah saya dikaburkan. Saya tidak faham apa tujuannya,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.
Mengulas lanjut mengenai keberadaannya di Sibu, Sarawak, Emma menjelaskan kehadirannya di sana adalah bagi tujuan penggambaran muzik video selain menyokong kekasihnya, DJ Kidd, yang kebetulan bekerja di lokasi tersebut.
“Mudah sahaja. Saya ke sana kerana ada penggambaran muzik video.
“Kebetulan DJ Kidd sedang memutar lagu di situ dan saya memang teringin untuk melihat dia beraksi. Jadi saya masuklah,” jelasnya.
Menjawab dakwaan kononnya dia cuba bersembunyi, Emma menegaskan bahawa dia hadir ke premis berkenaan dengan penampilan biasa tanpa sebarang usaha untuk menutup wajah.
Katanya, dia tidak memakai pelitup muka atau topi kerana menyedari dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Saya masuk sendiri ke kelab itu tanpa menutup muka atau memakai topi. Saya memang datang dengan niat untuk melihat dia (DJ Kidd),” ujarnya.
Sepanjang berada di dalam premis tersebut, Emma mengakui menyedari kehadiran ramai pengunjung yang merakam videonya menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Bagaimanapun, dia memilih untuk bersikap terbuka dan mesra tanpa menghalang mana-mana individu daripada berbuat demikian.
“Apabila orang rakam, saya sendiri yang melambai. Saya tahu ramai yang merakam dan saya biarkan sahaja,” katanya.
Bagi Emma, situasi tersebut tidak wajar disamakan dengan istilah ‘kantoi’ yang sering digunakan netizen apabila melibatkan golongan selebriti.
Tegasnya, kehadirannya di situ adalah dalam keadaan santai dan gembira tanpa rasa takut atau bersalah.
“Ini bukan situasi saya menyorok bawah meja kemudian terkantoi. Tidak perlu kaburkan muka saya atau jadikan ia satu teka-teki,” katanya.
Emma turut meluahkan rasa hairan mengapa situasi berkenaan perlu dijadikan seolah-olah satu drama misteri sedangkan dia berada dalam keadaan selamat dan dijaga dengan baik.
Sepanjang berada di Sibu, Emma menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu kenangan manis dan memuji keramahan penduduk setempat.
“Ramai yang menjaga saya di sana. Orang Sarawak, khususnya di Sibu, sangat ‘sporting’ dan profesional. Mereka tidak menghakimi,” ujarnya. -UTUSAN










