KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mengesahkan seorang wanita yang didakwa ‘memadukan’ suami di Bachok dekat sini sebenarnya telah bercerai secara taklik dengan suami pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, kegagalan mendapatkan pengesahan rasmi menyebabkan status perceraian wanita berkenaan dengan suami pertama kabur.
Katanya, situasi itu sekali gus menimbulkan salah faham dalam kalangan keluarga serta masyarakat.
“Keadaan tersebut mendorong Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan wanita terbabit menjalani proses mufaraqah selepas dia didapati bernikah dengan lelaki warganegara Pakistan ketika dokumentasi perceraian terdahulu belum disahkan.
“Apabila kita panggil dan teliti, sebenarnya tidak berlaku kahwin dua. Wanita itu sudah cerai taklik, tetapi tiada surat atau pengesahan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd. Asri memberitahu, ketiadaan dokumen itu menyebabkan suami pertama wanita termasuk keluarga tidak tahu mengenai perkara tersebut.
“Perceraian mesti direkod dan disahkan oleh mahkamah serta lengkap dengan dokumen. Jika tiada, ia akan menimbulkan kekeliruan.
“Sebab itu dalam kes ini kita ambil pendekatan cermat dan teliti. Berdasarkan keterangan selepas wanita berkenaan dipanggil, tidak berlaku perkahwinan dua suami, cuma isu pengesahan sahaja,” jelasnya.
Utusan Malaysia, 15 Februari lalu melaporkan, Jaheaik sudah menjalankan siasatan selepas seorang pesara tentera di Bachok mendakwa dia dimadukan oleh isterinya yang berkahwin dengan lelaki warganegara Pakistan ketika mereka masih lagi berstatus suami isteri.-UTUSAN










