Isa Samad ke penjara - Utusan Malaysia

Isa Samad ke penjara

MOHD. Isa Abdul Samad dibawa oleh anggota polis untuk ke Penjara Sungai Buloh, Selangor selepas diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Persekutuan, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun bermula semalam dan didenda RM15.45 juta oleh Mahkamah Persekutuan atas sembilan pertuduhan rasuah.

Mohd. Isa perlu menjalani tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Nordin Hassan bersama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Mohd. Isa, 77, oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.

Ia mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021 yang mendapati bekas Naib Presiden UMNO itu bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah serta dijatuhkan hukuman sama.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berdepan pendakwaan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Pa­lace Hotel Suites (MPHS) di Ku­ching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Nordin berkata, dapatan hakim bicara (Mahkamah Tinggi) adalah disokong oleh keterangan dan selaras dengan undang-undang.

“Mahkamah Rayuan telah tersalah guna dan gagal menilai fakta-fakta material yang relevan dalam kes ini, sekali gus mewajarkan campur tangan mahkamah (Mahkamah Persekutuan).

“Responden turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua tahun (bagi setiap tuduhan jika gagal membayar denda). Dengan ini perintah pemenjaraan dikeluarkan,” katanya.

Perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala responden diwakili peguam M. Athimulan.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi mahkamah apabila ahli keluarga Mohd. Isa termasuk isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang duduk di galeri awam menangis manakala beberapa yang lain berpelukan sesama sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan simpati susulan keputusan itu.

Beliau berharap pasukan peguam Mohd. Isa mempertimbang mengemukakan semakan yang berasas mengikut peruntukan yang dibenarkan.

“Saya berharap keluarga beliau tabah menghadapi ujian ini dan dipermudah segala urusan selaras dengan proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN