KUALA LUMPUR: Pelakon, Amir Nafis menyifatkan insiden kemalangan yang menimpanya ketika menjalani penggambaran di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini sebagai kecederaan paling serius dialaminya sepanjang bergelar anak seni.
Menurut Amir atau Amir Nafis Ma’arof, 33, walaupun tidak mengalami patah tulang seperti rakan pelakon, Datuk Remy Ishak, namun impak kemalangan tersebut membuat tubuhnya sakit seolah-olah dibelasah.
“Bukan saya cedera paling teruk, tetapi memang berlaku insiden serius ketika penggambaran. Saya alami luka dan rasa sakit di bahagian leher, pipi serta kedua-dua belah kaki.
“Alhamdulillah, tiada tulang yang patah. Cuma kesakitannya memang terasa seperti kena belasah,” katanya.
Amir sidang media Puasa Tetap Puasa, Raya Tetap Raya di Studio M1 Angkasapuri Kota Media, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian di sebuah lokasi penggambaran projek yang enggan didedahkan namanya itu, Remy dilaporkan mengalami retak tulang rusuk.
Mengulas lanjut mengenai kronologi kejadian, Amir bagaimanapun enggan memperincikan perkara tersebut selain meminta orang ramai menunggu kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan pihak produksi dalam masa terdekat.
“Sampai di sini sahaja yang boleh saya kongsikan. Pihak produksi akan menjelaskan perkara sebenar nanti. Mereka meminta saya tidak mengulas lanjut kerana melibatkan banyak pihak. Jadi buat masa ini saya tidak boleh berkongsi apa-apa,” jelasnya.
Walaupun keadaannya semakin pulih dan sudah kembali ke set selepas berehat selama dua hari, pelakon Sheriff itu mengakui masih berdepan trauma kecil.
Menurutnya, emosi turut sedikit terganggu apabila detik cemas tersebut kerap terbayang, terutama ketika hendak melelapkan mata.
“Tipulah kalau saya kata seratus peratus okey. Namun, tidaklah sampai trauma untuk terus melakonkan babak aksi.
“Cuma apabila sambung penggambaran, ada rasa berpeluh dan gementar sedikit, tetapi saya kuatkan semangat untuk teruskan.
“Sebelum ini saya pernah patah jari, terseliuh dan terjatuh. Namun, insiden kali ini merupakan kecederaan paling serius pernah saya alami.
“Mental emosi goyang, saya banyak terfikir, terjaga daripada tidur terbayang kejadian itu,” ujarnya. -UTUSAN










