GEORGE TOWN : Kira-kira dua juta kenderaan dijangka melalui, memasuki serta keluar dari Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan Op Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 selama enam hari bermula Ahad ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan pada 17 dan 18 Februari ini dijangka menyaksikan peningkatan pergerakan orang ramai terutama warga bandar yang pulang ke kampung halaman.
Menurut beliau, keadaan itu dijangka menyebabkan kesesakan trafik di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri serta laluan utama di kawasan bandar sepanjang tempoh cuti perayaan tersebut.
“Op Selamat 25 kali ini dilaksana berkonsepkan Pre-Emptive Services and Total Enforcement yang memberi penekanan kepada tindakan awal serta langkah pencegahan secara proaktif bagi mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan jalan raya.
“Seramai 380 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam operasi ini,” katanya selepas majlis advokasi dan pelancaran Ops Selamat 25/2026 sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Jelutong, hari ini.
Menurut Azizee, JSPT Pulau Pinang turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS).
Katanya, tumpuan diberikan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan atau blackspot serta kawasan yang sering mengalami kesesakan atau hotspot.
“Antara laluan yang dikenal pasti ialah Jalan Teluk Air Tawar – Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara, Jalan Perusahaan Perai – Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah serta Jalan Besar Simpang Empat di Seberang Perai Selatan.
“Selain itu, laluan di bahagian pulau melibatkan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Ayer Itam – Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah serta Jalan Tun Dr Awang turut diberi perhatian,” katanya.-UTUSAN










