Ibu dakwa anak dijadikan 'perisai' warden - Utusan Malaysia

Ibu dakwa anak dijadikan ‘perisai’ warden

INKUES ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang wanita mendedahkan, pihak sekolah menjadikan anaknya sebagai ‘perisai’ warden yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Saksi ke-62 yang merupakan ibu kepada pelajar perempuan yang dikenali sebagai ‘Pelajar A’ dalam inkues memberitahu, dia tidak dimaklumkan anaknya dibawa ke balai polis beberapa kali susulan insiden tersebut.

Katanya, anaknya diasingkan sejak pagi selepas Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri antara pukul 2.50 pagi hingga 3 petang, 16 Julai 2025.

“(Anak saya) dibawa ke Balai Polis Papar untuk disoal siasat. Pihak sekolah menjadikan anak saya seolah-olah sebagai perisai bagi warden yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap Zara.

“Semua semakan latar belakang dan penjelasan mengenai tingkah laku Zara diserahkan kepada anak saya untuk dijelaskan kepada polis.

“Ketika memberikan keterangan, anak saya terlepas waktu makan di dewan makan asrama dan berlapar sehingga malam,” katanya memetik laporan media.

Suri rumah berusia 42 tahun dari Labuan itu membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu, hari ini.

Saksi itu turut memberitahu, keterangan yang diberikan oleh bekas pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding atau dikenali sebagai Aunty Linah kepada mahkamah adalah tidak tepat apabila menyatakan dirinya hadir ke asrama pada malam 17 Julai.

“Saya hanya menghubungi warden, Cikgu Fatimah untuk bertanya sama ada kami boleh membawa (anak kami keluar) pada malam itu dan jawapan yang diberikan adalah ‘tidak dibenarkan’,” katanya.

Sebelum itu, dia memaklumkan, anaknya kelihatan kaku dan bukan seperti dirinya yang biasa ketika ditemui sekitar waktu tengah hari bersama suaminya.

Malah, katanya, keluarganya menerima tekanan hebat daripada orang awam selepas nama dan butiran peribadi anaknya tular serta dikongsi secara meluas dalam media sosial.

Saksi turut menangis ketika menyatakan anaknya terus berdepan kecaman awam dengan sesetengah pihak melabelnya sebagai pembunuh.

Pelajar A yang juga antara lima kanak-kanak yang dituduh dalam kes dakwaan buli terhadap Zara Qairina menunjukkan gejala gangguan stres pascatrauma (PTSD) di Klinik Kesihatan Luyang antara 21 dan 24 Julai 2025.

Malah, dia turut diberikan tiga sijil cuti sakit oleh Klinik Kesihatan Labuan pada Julai dan Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN