Ini trauma, apalagi berlaku dalam industri saya ceburi - Mimi Lana - Utusan Malaysia

Ini trauma, apalagi berlaku dalam industri saya ceburi – Mimi Lana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mimi Lana menyuarakan rasa kesal dan dukacita berhubung pendedahan ibu kepada pelakon remaja, Puteri Balqish iaitu Norashikin Mohd Aziz mengenai dakwaan eksploitasi pemerdagangan manusia yang berlaku dalam industri seni tanah air.

Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, menyifatkan isu tersebut bukanlah satu bahan jenaka atau sekadar kandungan media sosial, sebaliknya merupakan satu trauma realiti yang sangat meruntun jiwa.

Menerusi hantaran di laman X, pelakon drama Perempuan Itu ini mengakui mengambil masa yang lama untuk menghadam pendedahan di program audio siar tersebut yang disifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap maruah wanita.

“Ambil masa yang lama untuk saya menghadam apa yang didengari. Semakin saya memikirkannya, semakin ia menghancurkan hati saya.

“Pemerdagangan manusia bukan satu jenaka. Ini bukan content. Ini bukan gosip. Ini adalah trauma yang nyata, terutamanya apabila ia berlaku dalam industri yang saya sendiri ceburi,” tegasnya.

Ujar Mimi lagi, hatinya berasa sangat berat selepas menonton rakaman audio siar yang menampilkan Puteri Balqish dan ibunya, Ashikin, yang menceritakan kesengsaraan mereka selama bertahun-tahun.

Lebih mengejutkan, Mimi turut menyentuh mengenai dakwaan penglibatan individu berpengaruh termasuk seorang artis veteran wanita dan seorang ahli politik dalam kemelut yang menimpa dua beranak tersebut.

“Ini tentang seorang ibu yang bergelut membesarkan anaknya sebagai pelakon, tetapi diperlakukan dengan jijik, kejam dan tidak bermaruah. Ia didakwa dilakukan oleh seorang artis wanita veteran dan seorang ahli politik.

“Maruah seorang wanita dan seorang ibu telah dipijak-pijak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mimi turut mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang tegas dan perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat hari ini.

Terdahulu, Ibu kepada pelakon, Puteri Balqis iaitu Norashikin Mohd Aziz, mendedahkan pernah diperangkap oleh seorang artis wanita veteran membabitkan serang ahli politik beberapa tahun lalu. Ketika itu, dia sangat terdesak untuk mendapatkan rawatan bagi membantu Aqish yang mempunyai masalah kesihatan sehingga mengganggu penglihatan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN