Indeks harga pengeluar perkhidmatan meningkat 1% pada suku keempat 2025 - Utusan Malaysia

Indeks harga pengeluar perkhidmatan meningkat 1% pada suku keempat 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat 1.0 peratus pada suku tahun keempat 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama bagi tiga suku tahun berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dipacu terutamanya oleh sektor penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman yang mencatatkan kenaikan 3.1 peratus berbanding 3.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak yang naik 3.5 peratus serta aktiviti perkhidmatan minuman sebanyak 3.0 peratus.

“Sektor pengangkutan turut meningkat 2.2 peratus berbanding kenaikan 0.5 peratus pada suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan 7.1 peratus dalam indeks pengangkutan penumpang udara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, indeks pendidikan juga meningkat 1.5 peratus berbanding 1.4 peratus pada suku tahun ketiga 2025, dipacu oleh kenaikan dalam pendidikan menengah sebanyak 2.3 peratus dan pendidikan tinggi 1.6 peratus.

“Indeks lain yang turut mencatatkan peningkatan ialah kesihatan (0.7 peratus), aktiviti hartanah (0.6 peratus) dan profesional (0.5 peratus),” katanya.

Sebaliknya, Mohd. Uzir berkata, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan 3.8 peratus selepas meningkat perlahan 0.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Indeks maklumat dan komunikasi juga menurun 0.1 peratus pada tempoh sama,” katanya.

Mengulas prestasi suku tahunan, beliau berkata, IHPRP meningkat 0.3 peratus pada suku keempat 2025 berbanding 0.1 peratus pada suku sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh sektor pengangkutan yang meningkat 1.2 peratus serta penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 0.8 peratus.

“Indeks aktiviti hartanah, pendidikan dan kesihatan masing-masing turut mencatatkan peningkatan, manakala indeks profesional meningkat 0.1 peratus, sama seperti suku sebelumnya.

“Bagaimanapun, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi menurun 3.3 peratus, manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, secara keseluruhan IHPRP mencatatkan peningkatan marginal 0.9 peratus bagi tahun 2025 berbanding kenaikan 0.7 peratus pada 2024.

“Peningkatan ini terutamanya dipacu oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman yang meningkat 3.4 peratus, diikuti kesenian, hiburan dan rekreasi (1.8 peratus) serta pendidikan (1.3 peratus).

“Indeks lain yang turut meningkat ialah kesihatan (0.7 peratus), profesional (0.6 peratus) dan aktiviti hartanah (0.2 peratus). 

“Manakala indeks pengangkutan menurun 0.4 peratus manakala indeks maklumat dan komunikasi turut susut perlahan sebanyak 0.1 peratus bagi tempoh sama,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN