KUALA LUMPUR: Pengacara, Karl Shafek menyifatkan kemenangan tempat kedua dalam pertandingan Penyampai Emas SINAR seperti mimpi menjadi kenyataan.
Menurut pemilik nama penuh Karl Shafek Ibrahim, 45, hal demikian kerana dia tidak menyangka hasrat menjadi penyampai radio yang lama dipendam sebelum ini akhirnya direalisasikan menerusi pembabitan dalam pertandingan tersebut.
“Tidak banyak pencapaian yang saya rekodkan sebelum ini. Apabila sertai pertandingan, saya tidak pernah menang atau mendapat tempat.
“Sebab itu saya terkejut apabila diumum sebagai pemenang tempat kedua Penyampai Emas SINAR.
“Alhamdulillah. Rupanya berbekal usaha dan bakat, segala kegigihan akan dibalas dengan kejayaan,” katanya.
Pentas akhir Penyampai Emas SINAR menyaksikan Suraya Borhan diangkat sebagai juara, manakala Karl ditempat kedua disusuli Ady Kamal memenangi tempat ketiga.
Menurut Karl, dia kagum dengan kebolehan peserta lain yang turut memberi saingan sengit sepanjang pertandingan itu diadakan.
“Finalis lain berpengalaman, berbakat dan berkebolehan tinggi. Jujur memang tak sangka saya dapat tempat kedua.
“Dan selain gembira dengan pencapaian ini, saya juga sebak sebab akhirnya cita-cita saya untuk menjadi penyampai radio menjadi kenyataan,” ujarnya. – UTUSAN










