PETALING JAYA: Herbalife melalui pertubuhan bukan berasaskan keuntungan antarabangsanya, Herbalife Family Foundation (HFF), menyalurkan geran berjumlah kira-kira RM700,000 (AS$177,985) kepada lima rumah kebajikan kanak-kanak di Malaysia bagi tempoh 2025/2026.
Sumbangan di bawah inisiatif Casa Herbalife itu bertujuan menyokong keperluan asas termasuk makanan harian, barangan dapur, program kebajikan serta penambahbaikan kemudahan tempat tinggal bagi memastikan kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat.
Penerima geran tersebut terdiri daripada Amitabha Foundation, Good Samaritan Home, Hope Mission Welfare Society, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim (Miskin Rukaiyah) dan Yayasan Chow Kit.
Pengarah Kanan dan Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen lebih dua dekad syarikat dalam meningkatkan pemakanan dan kesejahteraan keluarga kurang berkemampuan.
“Kami percaya setiap individu berhak mendapat peluang untuk berkembang maju dan membina masa depan yang lebih baik.
“Kami terinspirasi oleh komuniti pengedar dan para pekerja kami yang saban tahun berganding bahu untuk merealisasikan kepercayaan tersebut serta mewujudkan impak berkekalan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2006, Casa Herbalife telah menyumbang hampir RM5 juta (AS$1.2 juta) dalam bentuk pembiayaan yang memberi impak positif kepada kehidupan lebih 2,500 kanak-kanak di seluruh negara.
Selain bantuan kewangan, para pekerja dan pengedar Herbalife turut terlibat secara langsung melalui program sukarelawan, termasuk kerjasama terbaharu dengan Yayasan Chow Kit yang memberi manfaat kepada 24 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 18 tahun.
Sejak penubuhannya pada 1994, HFF telah menyumbang lebih RM240 juta (AS$60 juta) kepada rakan pertubuhan bukan untung di seluruh dunia bagi menyokong program pembangunan kanak-kanak dan pemerkasaan komuniti. –UTUSAN










