MUKADIMAH
PEMUDA Pas menampilkan muka baharu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, DR. TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN TENGKU MUHAMMAD FAUZI sebagai Pengarah Pilihan Rayanya bagi sesi 2025–2027.
Sejak sekian lama, kekuatan Pas banyak dibantu dengan kesetiaan dan kesungguhan gerak kerja jentera pilihan rayanya termasuk dalam kalangan generasi muda.
Justeru itu, pelantikan berkenaan menjadi tanggungjawab besar bagi Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang berkongsi fokusnya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH mengenai tanggungjawab dipikulnya itu.
UTUSAN: Bagaimana tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas?
TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN: Amanah ini satu tanggungjawab besar lebih-lebih lagi negara bakal berdepan pilihan raya umum pada bila-bila masa. Saya akan melaksanakan amanah ini sehabis baik untuk menggerakkan lebih kurang 10,000 jentera Pemuda Pas untuk memenangkan parti.
Mengapa jentera pilihan raya Pas di Perak dan Melaka digerakkan lebih awal?
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tamat akhir tahun ini dan pilihan raya negeri bakal diadakan bila-bila masa sahaja. Jentera Pemuda Pas perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang. Tambahan pula Perak menyaksikan peningkatan ketara kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu.
Kami bukan sahaja mahu mempertahan kerusi sedia ada bahkan meletakkan hasrat menang di Perak. Sebab itu jentera Pemuda Pas bukan sahaja di dua negeri itu, bahkan di semua negeri sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
Apakah yang mendorong Pas mempunyai jentera tersusun dan konsisten?
Pas sekarang adalah tunjang kepada parti politik orang Melayu. Harapan orang Melayu untuk terus mempertahankan hegemoni dan kuasa politik Melayu menjadi satu cabaran yang mendorong Pas untuk terus melaksanakan gerak kerja politik dalam negara ini. Tambahan pula bagi kami, politik bukan sahaja satu kerja sampingan tetapi satu ibadah yang diamanahkan oleh Allah. Bagi kami, politik adalah salah satu kaedah terbaik untuk menonjolkan solusi Islam sebagai penyelesaian kepada segala masalah dan kepincangan dalam negara ini.
Apakah fokus jentera Pemuda Pas pada pilihan raya akan datang?
Fokus kami yang paling utama adalah untuk mempertahan kemenangan di keempat-empat negeri. Kami juga menggerakkan jentera Pemuda untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan di tiga negeri yang kami hampir menang iaitu Perak, Pahang dan Selangor. Beberapa calon pemuda Pas juga menang di beberapa kerusi DUN dan Parlimen, jadi keutamaan kami menggerakkan jentera bagi memastikan barisan YB-YB muda ini mengekalkan kemenangan mereka.
Apakah jentera Pas dikerah membantu calon daripada Perikatan Nasional (PN)?
Jentera Pas dikenali sebagai jentera yang taat kepada keputusan kepemimpinan parti. Kami menerima apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh kepemimpinan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sekiranya kami bertanding dalam gabungan PN, kami akan memastikan jentera pilihan raya pemuda Pas dikerah membantu semua calon PN. Nasihat saya hargailah jentera-jentera Pas yang telah membantu dan akan membantu semua calon PN dalam setiap pilihan raya.
Jangan ada yang pandang sebelah mata dengan kekuatan dan komitmen yang diberi oleh jentera pilihan raya Pas di semua peringkat.










