KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa mendapat sokongan majoriti 19 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu.
Hamzah berkata, beliau dan kumpulannya akan berbincang mengenai langkah seterusnya kerana tidak mahu mengambil keputusan secara sendiri.
“Sama ada kita guna Perikatan Nasional (PN) atau jajaran baharu, itu perkara yang akan difikirkan bersama.
“Saya bukan seorang yang hanya melakukan keputusan bersendirian. Ada rakan-rakan saya yang akan saya berbincang dengan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat hala tuju politiknya di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini hari ini.
Hamzah turut berkongsi pertemuan beliau dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam yang menurutnya berjalan lancar.
Beliau berkata, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Kata Ahli Parlimen Larut itu, dalam pertemuan berkenaan Abdul Hadi turut memberikan nasihat kepadanya.
“Alhamdulilah, saya sampai dan dia (Abdul Hadi) kata, apa pun yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya. Paling penting dia tanya berapa Ahli Parlimen yang bersama dengan saya.
“Buat setakat ini, termasuk diri saya sendiri adalah 19 ahli Parlimen dari 25 Ahli Parlimen daripada Bersatu. Jadi saya (memperoleh) majoriti dari Bersatu,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, beliau akan membuat temubual eksklusif dengan beberapa agensi berita atau media bagi bagi mendedahkan cerita sebenar di sebalik pemecatannya.
“Saya akan hubungi beberapa antara kamu semua (wartawan) untuk melakukan temubual eksklusif. Siapa yang nak, maklumkan pada saya,” katanya. – UTUSAN









