KUALA LUMPUR: Perjumpaan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini tidak membincangkan mengenai pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, parti belum mempunyai keputusan mengenai pemecatan Hamzah.
“Media boleh balik, Hamzah belum kena buang lagi,” katanya ringkas ketika ditemui di pekarangan kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli-ahli Parlimen dan ADUN Bersatu dikatakan berhimpun di kediaman Muhyiddin bagi menghadiri majlis sambutan Ramadan.
Antara yang hadir ialah dua Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Hilman Idham.
Perjumpaan tersebut berlangsung selama kira-kira empat jam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, satu pertemuan khas diadakan malam ini melibatkan wakil-wakil rakyat Bersatu bagi membincangkan kedudukan Hamzah sebagai Timbalan Presiden.
Menurut sumber, pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan mengenai perkembangan dalaman parti termasuk memorandum yang dikemukakan oleh beberapa bahagian berhubung kedudukan Hamzah. – UTUSAN










