Had tempoh 10 tahun Perdana Menteri bermula dengan saya - Anwar - Utusan Malaysia

Had tempoh 10 tahun Perdana Menteri bermula dengan saya – Anwar

ANWAR Ibrahim hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, Banting, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: Had tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal atau 10 tahun akan bermula pada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, prinsip itu penting bagi memastikan pindaan yang dicadangkan tidak dilihat menyasarkan kepemimpinan akan datang, sebaliknya bermula dengan kerajaan hari ini.

“Ya, bermula daripada saya lah. Maknanya jangan saya buat undang-undang untuk orang lain.

“Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding di sini, hari ini.

Anwar tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 1.30 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat bersama hampir 700 jemaah.

Beliau dan jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Menghidupkan Ramadan Dengan Ibadah Yang Berkualiti’ yang disampaikan oleh Imam Masjid Kampung Seri Cheeding, Zamhari Mohd. Darwi.

Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju menetapkan had maksimum 10 tahun atau dua penggal tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memperkukuh tadbir urus negara dan keseimbangan kuasa dalam pentadbiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan undang-undang termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.

Perdana Menteri berkata, cadangan berkenan telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dan ia wajar disegerakan sekiranya memperoleh konsensus majoriti ahli Parlimen.

Katanya, tempoh 10 tahun adalah mencukupi bagi mana-mana pemimpin yang mahu berkhidmat secara ikhlas kepada negara untuk melaksanakan agenda dan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, sepuluh tahun itu cukup memadai untuk dia lakukan sebaiknya.

“Selepas itu, wajar kita beri ruang kepada rakan-rakan lain meneruskan khidmat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN