PETALING JAYA: Penyanyi dan bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, mengakui tidak berupaya menghalang mana-mana pihak daripada terus berkongsi video serta foto lamanya yang menampilkan imej seksi.
Menurut Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, walaupun dirinya kini sudah berhijrah ke arah penampilan lebih sopan, dia mengambil pendekatan terbuka memandangkan kandungan tersebut telah lama berlegar dalam ruang digital.
“Mengenai imej lama, saya rasa saya tidak mempunyai kawalan terhadap perkara itu. Memandangkan ia sudah sedia ada di luar sana, saya tidak boleh sesuka hati mengarahkan semua orang supaya tidak memuat naik semula video atau foto lama.
“Saya juga merasakan tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Jadi, saya biarkan sahaja dan kadangkala memberikan tanda suka jika ada yang menandakan (tag) nama saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun, isteri kepada Nasrullah Mohd. Sapuan itu mengakui akan lebih menghargai sekiranya imej lamanya tidak lagi dikongsikan kepada umum.
Jelasnya, dia kini merupakan individu yang berbeza berbanding ketika mula-mula menceburkan diri dalam industri seni bersama Dolla.
“Jika diberi pilihan, sudah tentu saya tidak mahu imej lama itu dikongsi semula. Imej tersebut memaparkan versi diri saya yang berbeza berbanding siapa saya sekarang.
“Saya lebih selesa dan mahu orang yang baru mengenali saya melihat Syasya Rizal yang hari ini. Namun, memandangkan perkara itu tidak boleh dikawal, saya terpaksa menerimanya,” ujarnya.
Terdahulu, Syasya mengejutkan peminat apabila membuat keputusan meninggalkan kumpulan popular itu pada April lalu sebelum mengumumkan sudah mendirikan rumah tangga tidak lama kemudian.
Sejak bergelar isteri, Syasya tampil dengan imej baharu yang lebih sopan dan berhijab sepenuhnya, sekali gus menerima pujian serta sokongan ramai. -UTUSAN










