Fasha Sandha alami keguguran - Utusan Malaysia

Fasha Sandha alami keguguran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha mendedahkan dirinya baru sahaja mengalami keguguran pada Isnin.

Menurut Fasha, kandungannya gagal diselamatkan bukan kerana dirinya terlalu aktif bekerja mahupun mengamalkan diet secara berlebihan sebaliknya bayi yang dikandungkan kurang sihat.

“Keguguran ini bukan sebab banyak bekerja atau bergerak dan bukan juga terlalu kuat diet.

“Doktor kata ‘Baby A’ tidak sihat maka terjadilah keguguran awal kehamilan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam hantaran tersebut, pelakon drama Doa Yang Terlindung itu turut memaklumkan usia kandungannya tersebut sudah mencecah 10 minggu.

Reda dengan takdir yang tertulis, Fasha memaklumkan dirinya juga terpaksa menjalani prosedur Dilatasi dan Kuretaj (D&C) untuk mengeluarkan janin yang sudah membesar di dalam rahimnya.

“Saya tetap perlu menjalani prosedur untuk mencuci sebab baby A dah besar. Ini bukan rezeki kami lagi.

“InsyaAllah kami akan cuba lagi di tahun akan datang, sekarang bersama-sama fokus kerja dahulu,” kongsinya.

Fasha bagaimanapun sempat menitipkan kata-kata semangat kepada wanita yang melalui pengalaman sama dengannya agar tidak mudah berputus asa.

“Kepada yang mengalami dugaan yang sama seperti saya, jangan rasa sedih. Dapat hamil pun satu anugerah. Mungkin ada rezeki lain untuk kita,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN