PETALING JAYA: Farm Price Holdings Berhad (Farm Price) bercadang memindahkan penyenaraian syarikat itu daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Syarikat pemborong dan pengedar produk sayur-sayuran segar serta barangan makanan dan minuman (F&B) itu berkata, cadangan pemindahan tersebut melibatkan keseluruhan modal saham terbitan dan waran syarikat, selepas memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Pengarah Urusannya, Dr. Lawrence Tiong Lee Chian berkata, cadangan pemindahan ke Pasaran Utama mencerminkan kemajuan operasi serta kesiapsiagaan kumpulan untuk memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
“Cadangan ini bukan sekadar perubahan pasaran, sebaliknya menggambarkan disiplin operasi dan kesediaan kami untuk berkembang. Kami percaya pemindahan ini akan meningkatkan kredibiliti Farm Price, memperluas pengiktirafan dalam kalangan pelabur serta mengukuhkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, langkah itu juga dijangka mengukuhkan kepercayaan pelanggan, pembekal, rakan perniagaan dan pekerja ketika kumpulan terus memperluaskan operasi.
Menurut beliau, prospek Farm Price kekal positif dengan fokus untuk mengukuhkan kehadiran di pasaran utama di Malaysia dan Singapura serta meningkatkan keupayaan pengedaran.
“Pembesaran Pusat Pengedaran Berpusat (CDC) di Senai telah siap dan dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2026.
“Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan ini dijangka meningkatkan perkhidmatan nilai tambah, menambah kapasiti pengendalian serta menyokong kecekapan operasi yang lebih tinggi,” katanya.
Dari segi prestasi kewangan, kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai terkumpul sebanyak RM23.8 juta bagi tempoh tiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga 2024, dengan keuntungan bersih RM10.3 juta dicatatkan bagi tahun kewangan 2024.
Prestasi itu melepasi keperluan minimum keuntungan terkumpul RM20 juta serta sekurang-kurangnya RM6 juta bagi tahun kewangan terkini.
Farm Price turut mencatat kedudukan kewangan yang kukuh dengan aset semasa berjumlah RM51.8 juta berbanding liabiliti semasa RM12.1 juta, sekali gus menghasilkan nisbah semasa 4.27 kali.
Setakat akhir tahun kewangan 2024, kumpulan itu memiliki tunai dan setara tunai RM29.6 juta manakala jumlah pinjaman berjumlah RM10.9 juta, menghasilkan nisbah penggearan yang sihat pada 0.18 kali.
Selain itu, Farm Price merekodkan aliran tunai positif daripada aktiviti operasi bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dan tidak mempunyai kerugian terkumpul.
Syarikat juga mematuhi syarat penyebaran pegangan awam serta keperluan ekuiti Bumiputera bagi syarikat tersenarai.
Bagi melaksanakan cadangan pemindahan itu, Farm Price turut mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan syarikat bagi memastikan pematuhan terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Untuk rekod, Farm Price disenaraikan di Pasaran ACE pada 14 Mei 2024 dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM24.5 juta menerusi tawaran awam permulaannya (IPO). –UTUSAN










