PETALING JAYA: Exchange 106 memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Pahang bagi mewujudkan peluang latihan dan pekerjaan kepada graduan dari Pahang.
Melalui kerjasama itu, graduan terpilih akan mengikuti latihan berstruktur bersama Yayasan Pahang sebelum ditempatkan di Exchange 106 untuk pengalaman kerja secara langsung, dengan peluang diserap sebagai kakitangan tetap.
Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen mereka dalam memupuk bakat tempatan serta menyokong pembangunan tenaga kerja negara.
“Dengan melengkapkan golongan muda dengan kemahiran dunia sebenar dan laluan kerjaya yang berstruktur, kami berharap dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan modal insan Malaysia serta membentuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Dimiliki dan diuruskan oleh Mulia Property Development Sdn. Bhd., Exchange 106 terletak di Tun Razak Exchange (TRX), hab kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia.
Menerusi inisiatif ini, anak syarikat latihan Yayasan Pahang, YP Advanced Skills Sdn. Bhd. (YPAS) akan melengkapkan graduan dengan kemahiran yang relevan untuk persekitaran kerja sebenar seperti di mercu tanda komersial ikonik itu.
YPAS bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan program latihan berstruktur kepada graduan terpilih, merangkumi kemahiran teknikal, kesediaan tempat kerja serta pembelajaran praktikal.
Selain itu, graduan akan dilatih mengikut keperluan industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang dan Pengarah Urusan YP Advanced Skills Sdn. Bhd., Datuk Indera Mahmud Mohd. Nawawi berkata, pihaknya berbangga dapat membawa graduan mereka ke Exchange 106 untuk membangunkan peluang industri yang bermakna di sebuah pembangunan berstatus mercu tanda.
“Melalui YPAS, kami komited melahirkan profesional terlatih dan bersedia industri yang mampu menyumbang sejak hari pertama, sejajar dengan usaha pembangunan tenaga kerja negara,” ujarnya
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama Exchange 106 dan Yayasan Pahang dalam memperkasa tenaga kerja masa depan Malaysia serta memupuk bakat muda.
Melalui latihan dan pengambilan graduan tempatan, kedua-dua pihak berhasrat memperkukuh tenaga kerja negara sambil membuka peluang kepada generasi baharu membina kerjaya yang bermakna. –UTUSAN










