KUALA LUMPUR: Kejatuhan harga emas kebelakangan ini dipengaruhi jangkaan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat, di mana kadar faedah tinggi dan penyusutan bekalan wang memberi tekanan kepada pasaran.
Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng berkata, pergerakan harga emas akhir-akhir ini sangat mendadak dan tidak stabil.
“Sejak awal Januari, harga emas melonjak tinggi, tetapi hujung minggu lalu ia jatuh dengan ketara dan berterusan sehingga Isnin lalu.
“Pergerakan ini terlalu drastik, seperti ‘bull run’ yang laju sebelum berlaku pembetulan harga,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Emas Malaysia (MGC) Edisi Ke-3 2026 di sini, semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata, dari sudut asas ekonomi, permintaan terhadap emas dan perak masih kukuh.
Menurutnya, harga emas masih berpotensi baik bagi jangka sederhana dan panjang kerana nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS sangat tinggi dengan hutang besar berbanding saiz ekonomi.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap nilai mata wang dan mendorong pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas dan perak.
“Aliran kenaikan emas sejak beberapa tahun lalu masih disokong faktor ini dan belum berubah.
“Perak pula mengalami kenaikan harga sejak tahun lalu akibat kekurangan bekalan global selama beberapa tahun berturut-turut.
“Jadi, dalam jangka sederhana dan panjang, emas dan perak masih berada dalam aliran menaik, tetapi dalam jangka pendek harga dijangka alami keadaan turun naik kerana ramai pedagang mengalami kerugian akibat kejatuhan mengejut baru-baru ini,” katanya.
Louis berkata, jika AS menurunkan kadar faedah, ia biasanya positif untuk harga emas kerana kos memegang emas menjadi lebih rendah.
“Emas sangat sensitif kepada perubahan kadar faedah kerana ia tidak memberi pulangan dividen atau faedah seperti aset lain.
“Selain itu, penganalisis antarabangsa ada yang menjangka harga emas boleh mencecah sekitar AS$5,800 (RM22,869.40) hingga AS$6,000 (RM23,658) seauns, tetapi angka tepat sukar diramal.
“Harga dijangka bergerak secara zig-zag sebelum terus naik dalam jangka panjang,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan rundingan damai AS–Iran dan gencatan senjata sementara Rusia–Ukraine, beliau berkata, ia telah mengurangkan kebimbangan pasaran.
“Ia sekali gus menekan harga emas kerana permintaan terhadap aset selamat menurun buat sementara waktu,” katanya. –UTUSAN









