PUTRAJAYA: Perkhidmatan e-Filing Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan dibuka mulai esok bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Saraan 2025 dan Tahun Taksiran 2025.
LHDN dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menguatkuasakan pengemukaan BN secara mandatori menggunakan perkhidmatan yang disediakan secara dalam talian atau e-Filing melalui perkhidmatan portal MyTax.
Katanya, pembayar cukai dan majikan boleh mengakses perkhidmatan ini secara terus ke portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.
“Bagi ejen cukai, pengemukaan hendaklah menggunakan platform Tax Agent e-filing System (TAeF) yang boleh diakses melalui portal MyTax.
“Mulai esok, nombor kad pengenalan ditetapkan sebagai nombor pengenalan bagi pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS untuk urusan percukaian, termasuk untuk mengakses ke portal MyTax,” katanya hari ini.
Menurut LHDN, anggota tentera atau polis yang menggunakan nombor tentera atau polis sebagai pengenalan identiti sewaktu mengakses portal MyTax perlu mendaftar semula Sijil Digital Individu menggunakan Nombor Kad Pengenalan awam.
Katanya, kegagalan mengemukakan BN serta melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang dibenarkan boleh menyebabkan pembayar cukai dikenakan tindakan di bawah subseksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Justeru, katanya, bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada saat akhir, LHDN menyeru semua pembayar cukai membuat persediaan awal dengan memastikan semua rekod dan dokumen berkaitan percukaian termasuk penyata pendapatan, resit dan invois disemak serta dilengkapkan sebelum mengemukakan BN Tahun Taksiran 2025. – UTUSAN









