KOTA KINABALU: Polis menahan dua beranak dipercayai merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.
Katanya, suspek utama kejadian itu merupakan seorang lelaki tempatan berusia 70-an ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam manakala suspek kedua merupakan anak kandung suspek pertama telah ditahan di sebuah rumah di Sepanggar pada pukul 11 malam semalam.
“Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu,” katanya hari ini.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, maka kes berkenaan selesai namun siasatan lanjut masih diteruskan.
Semalam, media melaporkan mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.
Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada pukul 6.30 pagi, sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada pukul 11.40 pagi di lokasi berdekatan. – UTUSAN







