Dividen masuk Akaun Fleksibel jejas simpanan persaraan

Dividen masuk Akaun Fleksibel jejas simpanan persaraan

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dimasukkan ke dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) tidak menyokong matlamat simpanan persaraan untuk menjamin keselamatan kewangan jangka panjang.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, perkara tersebut akan menggalakkan pengeluaran awal dalam kalangan pencarum dan tidak selari dengan matlamat sebenar simpanan tersebut.

Ujarnya, jumlah dividen akan berkembang untuk tempoh persaraan dan dapat meningkatkan jumlah simpanan para pencarum.

“Kita melihat ramai pesara menghabiskan simpanan dalam beberapa tahun selepas bersara, justeru penekanan harus diberikan kepada simpanan jangka panjang.

“Apa yang lebih penting adalah penekanan terhadap literasi kewangan supaya pencarum boleh mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, media tempatan banyak melaporkan rakyat memohon agar dividen KWSP kali ini dimasukkan ke Akaun 3.

Dalam kenyataan kelmarin, Pengerusi Persatuan Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, rakyat berharap agar keseluruhan dividen dimasukkan terus ke Akaun 3 bagi membolehkan pengeluaran dibuat untuk menampung perbelanjaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Kim Leng menjangkakan dana persaraan tersebut akan mengumumkan kadar dividen antara 6.0 peratus hingga 6.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh jumlah pendapatan pelaburan lebih tinggi sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama.

“Mungkin terdapat sedikit perbezaan antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah, tetapi kadar sekitar 6.0 peratus ialah telah disesuaikan dengan inflasi, iaitu pulangan sebenar.

“Oleh itu, prestasi ini boleh dianggap sangat baik dan patut dipuji kerana mengekalkan kadar yang tinggi dan stabil. Kemungkinan juga mencapai 6.3 peratus seperti tahun 2024,” ujarnya.

Tahun lalu, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus untuk akaun simpanan konvensional dan syariah bagi tahun kewangan 2024.

Sementara itu, Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, cadangan supaya dividen dimasukkan ke Akaun 3 perlu diteliti.

“Secara prinsipnya, dividen bertujuan memperkukuh simpanan hari tua. Jika dividen dimasukkan ke Akaun 3 yang bersifat lebih fleksibel untuk pengeluaran, ia mungkin mengurangkan pengumpulan dana persaraan jangka panjang dan memberi kesan kepada kecukupan dana ketika persaraan.

“Walaupun ada keperluan jangka pendek dalam kalangan rakyat, tumpuan utama KWSP seharusnya kekal kepada memastikan kecukupan simpanan hari tua yang mampan bagi para pencarum,” jelasnya.

Beliau turut mengunjurkan dividen KWSP bagi Simpanan Konvensional berada dalam julat 5.8 peratus hingga 6.3 peratu, manakala Simpanan Syariah sekitar 5.6 peratus hingga 6.1 peratus bagi 2025, bergantung kepada prestasi pasaran kewangan tempatan dan global sepanjang tahun.

“Walaupun tahun sebelumnya mencatat 6.30 peratus, untuk mengekalkan kadar yang sama memerlukan prestasi pelaburan yang sangat kukuh, khususnya dalam pasaran ekuiti dan pendapatan tetap.

“KWSP berkemungkinan masih mampu mengekalkan kadar yang hampir sama bagi kedua-dua simpanan, namun perbezaan kecil mungkin berlaku bergantung kepada prestasi instrumen patuh syariah berbanding konvensional,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN