PETALING JAYA: Dividen dijangka menjadi tumpuan utama sektor perbankan Malaysia sempena musim keputusan suku keempat berakhir 31 Disember 2025 disokong kualiti aset yang kukuh serta margin stabil meskipun berdepan tekanan kecairan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran akan memantau rapat pengumuman dividen pada suku tersebut khususnya selepas dividen khas mengejut oleh CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) pada musim keputusan lalu menjadi pemangkin penting kepada kenaikan sektor.
“Bagi CIMB, kami berpandangan kumpulan berpotensi mengisytiharkan satu lagi dividen khas dalam keputusan suku keempat berakhir 31 Disember 2025.
“Walaupun kumpulan sebelum ini memperuntukkan RM2 bilion untuk dividen khas, jumlah tersebut tidak semestinya had maksimum dan boleh ditambah dari semasa ke semasa,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, AMMB Holdings Bhd. (AMMB) berpotensi mencatat peningkatan bayaran dividen walaupun telah mencapai sasaran nisbah pembayaran 50 peratus.
“Sasaran itu dilihat konservatif memandangkan nisbah ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) AMMB antara yang terkuat dalam industri, manakala perubahan Basel IV dijangka bersifat akretif modal atau sekurang-kurangnya neutral.
“Sebaliknya, jangkaan terhadap Malayan Banking Bhd. (Maybank) lebih berhati-hati,” jelasnya.
Firma penyelidikan itu tidak menjangkakan pengumuman ROAR30 akan membawa peningkatan ketara nisbah pembayaran atau dividen khas buat masa ini.
Ia menegaskan nisbah pembayaran dividen Maybank menunjukkan trend menurun sejak dua tahun lalu, sekali gus mencadangkan agihan kekal konservatif.
Sementara itu, MBSB Bank berkata, Affin Bank Bhd. berdepan potensi risiko penurunan dividen.
“Walaupun bank itu mengesahkan pelan pelaburan semula dividen, tahap pembayaran 2025 bergantung pada sasaran pertumbuhan pinjaman 2026.
“Dengan kemungkinan sasaran pertumbuhan pinjaman disemak naik susulan penggabungan kesan berkaitan Sarawak dalam strategi bank, bayaran dividen berpotensi berada pada julat lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, dari sudut pendapatan, MBSB Research menjangkakan prestasi suku yang sederhana hingga kukuh secara keseluruhan, walaupun persaingan deposit bermusim dan peningkatan perbelanjaan operasi berpotensi menekan margin bagi sesetengah bank.
“Keputusan standard suku keempat dijangka berdepan tekanan akibat persaingan deposit bermusim dan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, pemampatan margin faedah bersih (NIM) dilihat tidak terlalu ketara kali ini apabila beberapa bank memberi panduan pengembangan.
“Pendapatan berasaskan fi dijangka menyumbang sedikit peningkatan, manakala pendapatan bukan fi mungkin mengalami sedikit normalisasi.
“Suku ini juga dijangka ringan dari segi peruntukan memandangkan kualiti aset kekal sihat,” katanya. –UTUSAN










