KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu berkata, beliau berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.
“Saya juga memahami bahawa dalam suasana politik semasa, pelbagai persepsi dan spekulasi boleh timbul.
“Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak mengulas perkara yang bersifat spekulatif dan menyerahkannya sepenuhnya kepada proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Semalam, SPRM Terengganu dilapor menahan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya bagi mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di syarikat berkaitan kerajaan, GLC.
Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.
Beliau dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, esok.
Hanafiah berkata, beliau mengambil maklum berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadapnya dan memberikan kerjasama sepenuhnya.
Katanya, beliau dan pasukannya sudah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan, memberi keterangan dan tidak pernah sesekali mengelak daripada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Untuk makluman, siasatan ini bukanlah perkara baharu sebaliknya bermula sejak beberapa tahun lalu.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa bersikap terbuka dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, beliau percaya rakyat mampu menilai secara adil berdasarkan fakta tanpa dipengaruhi oleh persepsi yang tidak berasas.
Menurutnya, beliau kekal fokus kepada amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.
“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab tersebut dan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti. Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus mendoakan dan memberikan sokongan.
“Semoga ada kebaikan atau hikmah di atas setiap perkara yang berlaku. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










