KUALA LUMPUR: Dasar Kanak-Kanak Negara 2026–2030 mengutamakan aspek keselamatan digital bagi menangani risiko eksploitasi seksual dalam talian.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, dasar itu memberi penekanan kepada aspek advokasi, pencegahan, intervensi dan khidmat sokongan dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian.
“Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara yang baharu telah mengambil kira isu-isu baharu melibatkan kanak-kanak dalam persekitaran digital terutamanya dari segi siber memandangkan dasar ini dibangunkan dengan menggabungkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak dalam Dunia Siber sebelum ini.
“Ini menunjukkan isu siber dan eksploitasi terutamanya dari segi eksploitasi seks dalam talian telah dikenal pasti sebagai satu risiko yang memerlukan pendekatan khusus dan amat berfokus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung kemampuan dasar sedia ada menangani isu-isu terkini termasuk buli siber serta eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, Malaysia telah membentangkan kemajuan komitmen negara terhadap hak kanak-kanak pada sesi dialog konstruktif bersama Jawatankuasa Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva pada 22 hingga 23 Januari lalu.
“Antara isu dibangkitkan jawatankuasa berkenaan termasuk keperluan memastikan akses saksama kepada pendidikan, memperkukuh mekanisme perlindungan serta menangani risiko dalam persekitaran digital,” katanya.
Mengenai pemantauan agensi penguat kuasa dalam menangani isu penderaan kanak-kanak, Hui Ying berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun, selain pemeriksaan mengejut terhadap premis tidak berdaftar.
Katanya, sebuah Pasukan Petugas Pemutihan Taska juga telah ditubuhkan bagi menyelaras proses klasifikasi dan pendaftaran premis asuhan di seluruh negara sebagai usaha mencegah risiko penderaan atau pengabaian. – UTUSAN










