PETALING JAYA: Pasangan suami isteri warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an yang merupakan dalang sindiket pemalsuan visa antarabangsa dikenali sebagai ‘David Lawrence’ telah disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) Kuala Lumpur, Marina Habibon berkata, sindiket itu tumpas menerusi kejayaan Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam melakukan operasi risikan selama tiga bulan yang dijalankan oleh Sektor Risikan, Bahagian Penguatkuasa, JIM WPKL
Menurutnya, sindiket tersebut menawarkan visa palsu ke negara Eropah dengan bayaran mencecah RM20,000 bagi setiap dokumen.
“Modus operandi sindiket adalah dengan memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh. Dokumen pelanggan akan dihantar ke Malaysia melalui kurier antarabangsa sebelum dipalsukan dan digunakan bagi tujuan perjalanan ke negara Eropah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Marina, serbuan dijalankan pada 10 Februari lalu di sebuah kediaman di Sungai Besi yang dijadikan markas operasi dan JIM bertindak atas maklumat risikan.
Katanya, dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing serta slip imigresen yang disyaki dipalsukan.
‘Turut dirampas telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai peralatan lain dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen perjalanan tidak sah.
Pada 23 Februari lalu, kedua-dua suspek didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan.
Bagaimanapun, selepas gagal menjelaskan denda tersebut, mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 45 bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal serta disenarai hitamkan daripada memasuki Malaysia.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen,” katanya. – UTUSAN










