Dadah jadi trend pemandu kenderaan berat?

Dadah jadi trend pemandu kenderaan berat?

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mengelak keletihan dan meningkatkan daya tahan fizikal ketika memandu jarak jauh menjadi punca utama kebanyakan pemandu kenderaan berat mengambil dadah ketika memandu.

Berdasarkan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 261 peman­du kende-raan berat dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu ketika pemeriksaan dilaksanakan secara bersepadu khususnya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh ber­kata, berdasarkan soal siasat AADK semasa operasi, penggunaan dadah khususnya dadah perangsang (ATS) digunakan sebagai satu kaedah mengelak mengantuk dan menangani tekanan dalam mematuhi jadual ketat penghantaran barang.

“Kemungkinan lain mendorong penggunaan dadah seperti tekanan hidup dan masalah ekonomi, konflik keluarga, pengaruh rakan serta penagihan berulang.

“Tindakan majikan yang tidak konsisten membuat sa­ringan awal ujian urin boleh mendorong kepada penggunaan dadah dalam kalangan pemandu yang berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ruslin berkata, kesan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu ini amat berat dan berisiko tinggi menjejaskan keselamatan jalan raya sehingga boleh berlaku kemalangan.

Penggunaan dadah boleh merosotkan fungsi kognitif dan masa tindak balas. Ia menjejaskan keupayaan berfikir, menilai risiko, membuat keputusan serta koordinasi motor, sekali gus meningkatkan keberangkalian kesilapan semasa memandu.

Ia turut memberi kesan kesihatan jangka panjang kepada pemandu yang akan menyebabkan penagihan, gangguan tidur dan keletihan kronik menyebabkan ketidakupayaan pemanduan selamat secara berterusan.

“Penyalahgunaan dadah akan mengakibatkan gangguan fungsi sistem saraf pusat, menyebabkan tumpuan, koordinasi dan pertimbangan pemandu terjejas.

“Kesan ini melambatkan tindak balas, mengganggu kawalan kenderaan dan mendorong tingkah laku impulsif dan agresif seperti memandu laju, agresif dan melanggar peraturan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya.

Dalam usaha pencegahan Ruslin berkata, AADK melakukan saringan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.

Katanya, ujian dadah secara rawak dan berkala dilakukan serta pelaksanaan hukuman tegas seperti denda dan terlibat dalam operasi bersama agensi penguatkuasaan semasa me­lakukan sekatan jalan raya.

Katanya, program latihan dan kempen kesedaran untuk meningkatkan kefahaman pemandu tentang bahaya dadah, risiko kemalangan dan im­plikasi undang undang turut dilaksanakan.

“Peranan majikan dan so­kongan kesihatan, amat pen­ting serta pelaksanaan dasar tempat kerja bebas dadah, pemantauan dalaman, serta penyediaan sokongan kesihatan dan pemulihan bagi pemandu yang bermasalah,” katanya.

Penilaian risiko melalui ujian pengesanan dadah membantu memberi kesedaran kepada pekerja dengan me­ningkatkan kefahaman tentang bahaya dadah terhadap keselamatan, kesihatan dan prestasi kerja.

“Ia turut mendorong pekerja lebih berdisiplin dan mengamalkan sikap pencegahan ke­rana menyedari tanggungjawab mereka di tempat kerja.

“Ujian turut membolehkan pengesanan awal dan intervensi berfokuskan pendidikan serta pemulihan, bukan hukuman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN