KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan tunduk terhadap tekanan mahupun bantahan daripada mana-mana pihak industri berhubung keputusan meminda undang-undang pengangkutan jalan raya yang bakal membolehkan pemilik barangan turut dikenakan hukuman sekiranya didapati terlibat dalam kes kenderaan berat membawa muatan berlebihan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau menyedari keputusan berkenaan menerima pelbagai bantahan dan amaran daripada pihak berkepentingan, namun menegaskan langkah tersebut dibuat demi keselamatan rakyat serta integriti sistem pengangkutan negara.
“Masalahnya, mereka sudah terlalu lama mengambil kesempatan daripada kelemahan penguatkuasaan dan bertahun-tahun membiarkan lori membawa muatan berlebihan. Sekarang bila kita kuatkuasakan undang-undang, mereka bantah pula.
“Apa pilihan kita ada? Jika tunduk, lebih baik kita tutup mata saja dan biar keadaan terus membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Syahredzan Johan (PH – Bangi) bahawa beliau terbaca kenyataan daripada persatuan-persatuan pembinaan termasuk Master Builder Associations Malaysia yang mendakwa tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kesalahan lebih muatan menyebabkan peningkatan kos operasi kerana perlu menambah jumlah perjalanan.
Isu lebihan muatan yang sering menjadi punca kemalangan maut di jalan raya bukan berpunca daripada pemandu semata-mata, sebaliknya bermula dari lokasi pengisian muatan seperti kilang, kuari dan gudang.
Pendedahan Utusan Malaysia 25 September lalu, membongkar bagaimana sebahagian pemilik muatan sendiri menetapkan jumlah barang yang perlu dibawa tanpa menghiraukan had berat ditetapkan undang-undang.
Wartawan Utusan Malaysia juga bertindak menyamar sebagai kelindan untuk melihat sendiri prosedur operasi standard (SOP) pengisian muatan yang ditentukan oleh pemilik barangan bukannya pemandu atau operator syarikat logistik.
Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau mengambil pendirian untuk mementingkan keselamatan rakyat dan pengguna jalan raya bukannya keuntungan pihak industri walaupun mungkin terpaksa berdepan kenaikan kos operasi.
Katanya, nyawa manusia lebih penting berbanding kenaikan kos ditanggung mereka.
“Saya agak terkilan dengan tindakan sebahagian pemain industri ini, mereka tahu selama ini (melakukan kesalahan) tetapi mereka hendak kita berunding. Ini bagi saya sesuatu yang mencabar kuasa kerajaan.
“Mereka sudah buat salah kemudian minta saya berunding dengan dia. Jadi saya cakap ‘just forget about it (lupakan saja) tak ada runding-runding, penguatkuasaan undang-undang tetap berjalan,” tegasnya.
Beliau berkata, semua pihak berkaitan kenderaan berat perlu mematuhi peraturan dan undang-undang supaya tidak membenarkan muatan berlebihan di atas jalan raya kerana ia membahaya nyawa pengguna dan merosakkan struktur jalan.
Sebelum ini, Loke dalam satu sidang media memaklumkan bahawa kerajaan akan meminda undang-undang pengangkutan jalan raya bagi membolehkan pemilik barangan juga dihukum untuk membendung kesalahan membawa muatan berlebihan. – UTUSAN










