CPI meningkat: Transaksi fizikal dikurangkan buka ruang risiko rasuah - KSN

CPI meningkat: Transaksi fizikal dikurangkan buka ruang risiko rasuah – KSN

SHAMSUL AZRI ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendigitalan perkhidmatan Kerajaan (e-Government) akan diperkukuh untuk mengurangkan transaksi fizikal yang membuka ruang kepada risiko rasuah.

Itu antara lima inisiatif utama bagi memastikan Malaysia berjaya menduduki kedudukan 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2030 dengan memperkasa inisiatif antirasuah sedia ada bagi memastikan ia memberikan impak yang boleh diukur.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kedudukan Malaysia dalam CPI 2025 telah meningkat tiga anak tangga kepada kedudukan ke-54 daripada 182 negara berbanding tempat ke-57 pada tahun 2024, berdasarkan Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2025 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia semalam.

“Pencapaian ini turut menyaksikan peningkatan skor keseluruhan kepada 52 mata berbanding 50 mata pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhannya Malaysia menunjukkan peningkatan dalam dua daripada sembilan survei yang digunakan dalam penilaian CPI, iaitu IMD World Competitiveness Ranking 2025 dengan lonjakan ketara skor sebanyak 12 mata.

“Ini termasuk World Economic Forum Executive Opinion Survey yang mencatat peningkatan skor sebanyak 14 mata,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Shamsul Azri berkata, peningkatan berkenaan menggambarkan keyakinan yang semakin bertambah dalam kalangan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, pencapaian itu juga menjadi bukti komitmen berterusan Malaysia dalam menambah baik ekosistem tatakelola baik serta mencegah rasuah bagi memastikan negara kekal berdaya saing di peringkat global.

Tambah beliau, prestasi CPI yang semakin memberangsangkan itu turut didorong oleh usaha Pasukan Petugas Khas CPI yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan tatakelola dari aspek pengurusan dana awam, penguatkuasaan, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan serta komunikasi strategik, termasuk kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta.

“Penghayatan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam di semua peringkat akan diperkukuh melalui pelaksanaan Modul Governans, Integriti dan Antirasuah menerusi e-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA).

“Kerajaan juga akan memastikan perolehan awam yang berintegriti tinggi melalui penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan, di samping melancarkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) turut akan diperkasakan bagi meningkatkan pembudayaan integriti serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui penguatkuasaan Akta ILTIZAM.

“Usaha pembaharuan undang-undang dan institusi juga akan diteruskan bagi meningkatkan tahap kebertanggungjawaban sektor awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN