SHAH ALAM: Usahawan dan selebriti media sosial, Christy Ng, mengakui tidak pulang ke kampung halaman di Kluang, Johor sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Menurut Christy, tradisi pulang ke kampung itu tidak lagi dilakukan memandangkan hampir kesemua ahli keluarganya kini menetap di ibu kota.
“Sebenarnya saya berasal dari Kluang, Johor tetapi tahun ini saya tidak balik ke sana. Ini kerana semua saudara-mara saya sudah pun berpindah dan menetap di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Anugerah Gempak Most Wanted, baru-baru ini.
Bercerita mengenai persiapan raya, usahawan itu sempat berseloroh menyifatkan dirinya sebagai seorang yang agak ‘pemalas’ dalam menguruskan rumah, namun tetap melakukan kerja-kerja pembersihan atas inisiatif sendiri.
Malah, beliau turut menegaskan bahawa walaupun sudah bergelar usahawan berjaya, beliau tidak bergantung kepada pembantu rumah untuk menguruskan kediaman peribadinya.
“Persiapan rumah baru siap separuh. Esok barulah sambung bersihkan lagi. Walaupun saya ini nampak macam pemalas, tetapi rumah sendiri kena cuci sendiri kerana saya memang tidak mempunyai orang gaji,” jelasnya berseloroh.
Dalam pada itu, Christy turut berkongsi pendedahan menarik mengenai pengalamannya mencuba ibadah puasa pada bulan Ramadan sebelum ini.
Sambil ketawa mengenang detik tersebut, beliau mengakui pernah melakukan ‘kesilapan’ ketika bersahur yang menyebabkan beliau berdepan cabaran besar untuk melengkapkan tempoh berpuasa.
“Memang Christy pernah cuba puasa tetapi sangat susah. Waktu itu saya kurang pengalaman, jadi saya pergi makan me segera untuk sahur.
“Kawan saya kemudiannya tegur, kalau makan mi segera waktu sahur, memang akan rasa sangat haus sepanjang hari. Jadi tahun ini saya sudah ‘naik taraf’ ilmu sahur dan mahu cuba lagi berpuasa bersama-sama pasukan (staf) saya,” ujarnya.
Tambah beliau, suasana bulan Ramadan di Malaysia sentiasa dekat di hatinya terutama keterujaan berkunjung ke bazar Ramadan.
“Saya memang suka ikut staf pergi ke bazar Ramadan, beli makanan dan berbuka puasa bersama-sama. Perasaan itu sangat menyeronokkan,” katanya. -UTUSAN










