“TOLONGLAH anugerahkan Shila Amzah gelaran Datuk.”
Demikian luahan peminat tentang Nurshahila Amir Amzah yang dianggap layak mendapat pengiktirafan lebih tinggi susulan pencapaian sebagai satu-satunya artis Melayu pertama yang berjaya mencipta nama di negara China.
Memang benar apa yang dikatakan peminat. Shila Amzah mengharumkan nama negara. Seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Yuna, dia juga adalah permata seni negara.
Bahkan, pencapaian Shila hari ini tidak datang bergolek. Pelbagai ranjau yang dia tempuhi, terlalu banyak turun naiknya.
Tambah pula, bukan senang untuk tembusi pasaran China dengan semangat kekitaan yang cukup menebal dalam kalangan rakyatnya.
Ternyata, selain bakat dan kerja keras, penerimaan baik Shila Amzah di China adalah atas ketentuan Allah S.W.T.
“Ramai yang berkata, pergilah melebarkan sayap ke China. Apa yang boleh saya katakan, ia tidak mudah. Banyak tapisan yang harus dilalui.
“Jadual kerja saya di sana juga terlalu padat. Dalam satu bulan, saya berulang alik beberapa kali dari Malaysia ke China untuk menyelesaikan dua hingga tiga persembahan. Cuma sekarang ini saya berehat kerana cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kalau diikutkan, berulang alik itu memang memenatkan. Tapi ini rezeki yang Allah berikan saya. Dalam masa yang sama bukan senang untuk kembali membina nama di China apatah lagi kali ini saya ke sana bersama pasukan yang lebih besar.
“Apa pun saya amat bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Shila tidak menafikan antara cabaran yang paling besar adalah untuk berdepan tuntutan kerajaan negara itu yang amat menjaga rakyatnya.
“Seperti negara kita, di China juga ada agensi kerajaan yang menapis dan memantau kemasukan artis luar. Sebagai orang luar, saya dan pasukan saya akur dengan garis panduan ketat yang kerajaan mereka telah tetapkan.
“Kerajaan kita amat menitik berat banyak perkara terutamanya soal pemakaian, sensitiviti rakyat dan sebagainya. Di China, kerajaan mereka amat mementingkan soal pembawakan diri artis termasuk di media sosial. Rakyat mereka ramai, kerajaan China tidak berkompromi dengan anasir negatif dari luar.
“Sebab itu saya amat berjaga-jaga apabila membuat perkongsian di media sosial, saya elakkan daripada menyentuh topik sensitif.
“Sebelum ini ada artis luar dan pasukannya yang dihalang masuk dan diarah pulang disebabkan gagal mematuhi garis panduan. Saya kalau boleh mahu elakkan perkara begitu berlaku kepada saya atau pasukan saya,” katanya.
DFP
Dalam pada itu, Shila juga meluahkan rasa syukur kerana hasrat untuk membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akhirnya bakal tercapai pada 9 Mei ini.
“Adalah menjadi impian setiap penyanyi di Malaysia untuk beraksi di DFP disebabkan sistem bunyi dalam dewan ini yang cukup berbeza dengan dewan yang lain.
“Ini saya boleh katakan bakal menjadi antara pencapaian terbaik saya sepanjang 25 tahun bergelar penyanyi.
“Ibaratnya saya melunaskan hasrat peminat yang bukan sahaja sekian lama bertanyakan mengenai konsert di Malaysia malah menantikan lagu-lagu saya yang mereka gemari sekali lagi dipersembahkan secara live.
“Dan boleh katakan juga konsert Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories bakal diisi dengan segmen yang menggambarkan perjalanan 25 tahun saya sebagai anak seni,” ujarnya.
Disoal mengenai pemilihan lagu bagi konsert itu, menurut Shila dia akan berusaha sebaiknya untuk menyanyikan seberapa banyak lagu demi kepuasan peminat yang lama menantikan sebuah konsert darinya selepas kali terakhir menyaksikan Shila di pentas Plenary Hall hampir empat tahun yang lalu.
“Saya masih dalam proses memilih lebih 25 buah lagu yang akan dipersembahkan nanti.
“Yang pastinya saya tidak akan hampakan peminat yang sentiasa memberitahu lagu apa yang mereka mahu saya nyanyikan nanti, termasuk lagu-lagu yang pernah saya rakamkan diawal kemunculan saya sebagai penyanyi dulu,” katanya lagi.










