Bomba Perak selamatkan harta bernilai RM352 juta - Utusan Malaysia

Bomba Perak selamatkan harta bernilai RM352 juta

SAYANI Saidon (kiri) memakaikan tanda pangkat kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Sharudi Muhamad Halil (tengah) sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menyelamatkan aset bernilai RM352 juta dalam insiden kebakaran sepanjang tahun lalu.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM77.5 juta berbanding RM274.5 juta yang direkodkan pada tahun 2024.

Katanya, dalam tempoh sama, kerugian harta benda akibat kebakaran direkodkan sebanyak RM110 juta pada tahun lalu berbanding RM113 juta pada tahun sebelumnya.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada peranan yang dimainkan oleh semua pihak termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS)

“Tidak dinafikan bahawa dalam kebanyakan kes, PBS banyak membantu jabatan dari segi ‘respond time’ yang pertama kerana mereka berada hampir dengan kawasan kejadian.

“Jadi, mereka membantu usaha pemadaman pada peringkat awal sekali gus meningkatkan jumlah harta yang berjaya diselamatkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 di Dewan Premier Dato Sri Ts Mohammad Hamdan di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Menurut Sayani, dengan pindaan perundangan baharu yang meletakkan PBS di bawah JBPM, prestasi pasukan itu akan dapat dipertingkatkan lagi.

“Kredit dan merit harus diberikan kepada PBS atas kehadiran serta komitmen tinggi mereka dalam membantu operasi pemadaman.

“Kehadiran PBS membuktikan bahawa pasukan itu merupakan komponen penting dalam memperluas liputan perkhidmatan, meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dan menyokong keupayaan operasi jabatan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam majlis itu, Sayani turut menyempurnakan pemakaian tanda pangkat kepada 23 pegawai dan anggota serta sijil penghargaan kepada lima orang awam dan seorang pegawai bomba atas sumbangan masing-masing dalam membantu operasi menyelamat pasukan.

Antara yang menerima penghargaan tersebut ialah dua malim gunung, Mohamad Tahir Adnan dan Anwar Ridhwan Zainal Abidin, bertugas di Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan yang menyertai operasi pencarian pendaki hilang di Gunung Liang, Oktober tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN