PETALING JAYA: Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri) memeterai Perjanjian Jual Beli Saham Bersyarat (SSPA) cadangan pelupusan keseluruhan 50 peratus pegangan ekuitinya dalam KL-Kuala Selangor Expressway Sdn. Bhd. (KLKSE) pada pertimbangan tunai RM77 juta.
Perjanjian itu dimeterai dengan Arena Irama Sdn. Bhd., manakala cadangan pelupusan itu adalah bebas daripada sebarang bebanan serta tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui dalam SSPA.
KLKSE merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (E25) yang dianugerahkan oleh kerajaan Malaysia pada 10 November 1997.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun berkata, KLKSE berkemungkinan memerlukan tempoh matang yang panjang untuk menjana lebihan pendapatan serta aliran tunai operasi bagi agihan kepada pemegang saham, susulan kedudukan liabiliti bersih semasa dan tahap hutang yang tinggi.
“Sehubungan itu, cadangan pelupusan ini merupakan peluang tepat pada masanya bagi kumpulan merealisasikan sepenuhnya nilai pelaburan dalam KLKSE.
“Ini sekali gus membolehkan kumpulan mencatatkan anggaran keuntungan pelupusan kira-kira RM74.9 juta.
“Pada masa sama, Bina Puri sedang berunding dengan pemberi pinjaman dan pemiutang bagi memuktamadkan terma cadangan skim pengaturan.
“Kami menyasarkan untuk menyelesaikannya menjelang suku pertama 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Cadangan pelupusan itu dijangka menghasilkan keuntungan pelupusan sekali sahaja secara pro forma kira-kira RM74.9 juta.
Kos pelaburan asal Bina Puri dalam KLKSE adalah sebanyak RM30 juta.
Selepas cadangan pelupusan dimuktamadkan, KLKSE tidak lagi menjadi syarikat bersekutu Bina Puri dan akan dimiliki sepenuhnya oleh Arena Irama.
Pertimbangan pelupusan ditentukan berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual yang rela (willing-buyer willing-seller) antara Bina Puri dan Arena Irama.
Sementara itu, Deloitte Malaysia dilantik sebagai penilai perniagaan bebas bagi menilai nilai pasaran KLKSE.
Dalam pada itu, nilai pasaran KLKSE yang dianggarkan oleh Deloitte Malaysia adalah antara RM152.6 juta hingga RM221.8 juta berdasarkan 100 peratus pegangan ekuiti dengan tarikh penilaian pada 31 Disember 2025.
Memandangkan jualan saham itu mewakili 50 peratus pegangan ekuiti KLKSE, nilai pasaran berkadar 50 peratus dianggarkan antara RM76.3 juta hingga RM110.9 juta.
Selain itu, Bina Puri bercadang menggunakan sepenuhnya hasil pelupusan bagi pembayaran sebahagian kemudahan kredit perdagangan dan kredit pusingan dengan Alliance Bank Bhd.
Baki tertunggak kemudahan tersebut setakat 30 Januari 2026 adalah RM109.36 juta.
Pembayaran sebahagian itu dijangka mengurangkan nisbah penggearan Kumpulan Bina Puri daripada 1.81 kali setakat 30 Jun 2024 kepada 0.81 kali.
Dengan andaian kadar faedah efektif tahunan purata kemudahan tersebut sekitar 8.5 peratus, pembayaran balik itu juga dijangka menjimatkan kos faedah kira-kira RM6.5 juta setahun.
Berdasarkan penyata kedudukan kewangan teraudit terkini KLKSE setakat 31 Disember 2024, syarikat itu mencatatkan kerugian terkumpul RM234.2 juta dengan ekuiti negatif RM174.2 juta.
Selain itu, KLKSE mempunyai jumlah liabiliti RM1.18 bilion, dengan RM1.13 bilion atau 95.8 peratus dalam bentuk pinjaman dan pembiayaan. –UTUSAN










