PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berada dalam fasa pemulihan dan langkah tersebut perlu disegerakan dalam berdepan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Melaka dan Johor, seterusnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengasas Bersatu, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata, penstrukturan semula parti penting dalam memperkukuh organisasi tanpa kompromi terhadap mana-mana unsur yang boleh melemahkan perjuangan.
“Lebih baik tidak ada makhluk perosak dalam parti yang memperjuangkan rakyat. Untuk waktu sekarang, parti perlu segera menguruskannya dengan baik.
“Kita faham pelbagai implikasi Bersatu perlu hadapi, tetapi kita perlu balik kepada perjuangan asal. Jika tidak, orang lain yang akan menghancurkan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas pemecatan terhadap enam pemimpin Bersatu termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin, katanya tindakan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan dan maklumat yang diperoleh parti.
Katanya, Hamzah sepatutnya menyedari kepercayaan besar yang telah diberikan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hamzah sepatutnya tahu Tan Sri Muhyiddin benar-benar memberi kepercayaan terhadap beliau, ibarat dibentangkan karpet merah kerana tahu dia akan mewarisi Presiden parti, cuma tunggu masa untuk serah baton sahaja.
“Sebab itu saya tidak faham mengapa beliau buat gerakan tertentu dengan melanggar perlembagaan Bersatu.
“Malah keputusan yang dibuat itu bukan terlalu drastik untuk memecatnya, sebab kita ada bukti dan maklumat. Dia tidak datang untuk pertahankan, jadi parti perlu buat keputusan,” katanya lagi.
Dalam mendepani PRN Melaka tidak lama lagi, Redzuan turut memaklumkan yang beliau telah mencadangkan nama Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Nazri Ramli untuk mengambil alih kedudukan Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin.
“Cadangan ini telah pun saya nyatakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dikongsi cadangan tersebut bersama Datuk Dr. Radzi Jidin,” katanya.
Mas Ermieyati sebelum ini telah meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah dimana peletakan jawatan itu dibuat bersama 39 lagi ahli jawatankuasa bahagian terbabit.










