KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan sebulat suara memberi sokongan penuh terhadap kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.
Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, ketetapan itu dibuat menerusi Konvensyen Bersatu Kelantan yang berlangsung hari ini.
Katanya, tiada sebarang alasan atau sebab untuk kedudukan Presiden Bersatu itu diganggu-gugat dalam tempoh mandat yang diberikan.
“Kami Bersatu Kelantan sebulat suara menyokong Muhyiddin walaupun pelbagai isou dalaman berlaku sesuai dengan mandat yang diberikan kepada beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan 2024/2025.
“Justeru itu, kita perlukan kestabilan dalam parti untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Kelantan di sini, hari ini.
Kamaruddin berkata, segelintir pimpinan Bersatu yang melakukan tindakan bertentangan di negeri ini juga berada dalam radar dan pemerhatian pihaknya.
“Ia terlalu sedikit tetapi ada, kita akan pantau,” katanya.
Mengulas sama ada Bersatu Kelantan menggesa tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen yang menandatangani akuan bersumpah (SD) mendesak Muhyiddin berundur, Kamaruddin berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti.
“Kita tidak campur tangan kerana itu urusan Lembaga Disiplin. Terserah kepada Lembaga Disiplin untuk membuat penilaian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pemecatan 17 pimpinan dan ahli parti termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak sesekali melemahkan atau menggugat kedudukan parti itu.
Katanya, kekuatan sesebuah parti bukan diukur berdasarkan jumlah ahli yang ramai semata-mata, sebaliknya bergantung kepada semangat serta kekentalan perjuangan ahli.
Menurutnya , kemenangan dalam pilihan raya juga tidak ditentukan oleh undi ahli parti sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat luar.
“Lazimnya orang berfikir parti kuat kerana bilangan ahli yang ramai, namun untuk makluman, tiada mana-mana parti di Malaysia yang menang pilihan raya kerana undi daripada ahli semata-mata, sebaliknya bergantung kepada pihak luar.
“Justeru itu, kekuatan parti yang membawa kepada kemenangan adalah disebabkan ahli yang kental,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang dipecat semalam masih terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Beliau berkata, walaupun mereka kini berstatus sebagai wakil rakyat Bebas, kedudukan itu tetap diiktiraf secara rasmi di bawah undang-undang.
“Ramai yang lupa, Akta Anti Lompat Parti menghalang seseorang ahli Parlimen itu mengubah kedudukan beliau daripada satu parti kepada parti lain semasa menjadi ahli Parlimen.
“Apabila dipecat, statusnya Bebas, tetapi jika masuk parti lain, beliau sudah ubah status daripada Bebas menjadi ahli parti baharu, maka mereka terikat dengan akta dan boleh menyebabkan kekosongan kerusi,” katanya.- UTUSAN










